Terkini
ASEAN perlu instrumen mantap mengatasi isu pemerdagangan manusia
Menteri Penyelaras Politik, Undang-undang dan Keselamatan Indonesia, Mahfud MD mempelawa semua negara anggota ASEAN meningkatkan usaha membanteras jenayah rentas negara yang semakin berleluasa di ASEAN terutamanya melibatkan keganasan, dadah serta pemerdagangan manusia.
- Menteri Penyelaras Politik, Undang-undang dan Keselamatan Indonesia, Mahfud MD mempelawa semua negara anggota ASEAN meningkatkan usaha membanteras jenayah rentas negara semakin berleluasa di ASEAN terutamanya melibatkan keganasan, dadah serta pemerdagangan manusia.
- “ASEAN mesti mempunyai instrumen yang mencukupi untuk mengatasi jenayah pemerdagangan orang.
- “Ini termasuk menerima pakai Deklarasi Pemimpin Mengenai Membanteras Pemerdagangan Orang Berpunca daripada Penyalahgunaan Teknologi yang mengandungi pendekatan menyeluruh dari segi pencegahan dan perlindungan mangsa, selain meningkatkan kerjasama antara negara,” katanya.
JAKARTA: Menteri Penyelaras Politik, Undang-undang dan Keselamatan Indonesia, Mahfud MD mempelawa semua negara anggota ASEAN meningkatkan usaha membanteras jenayah rentas negara yang semakin berleluasa di ASEAN terutamanya melibatkan keganasan, dadah serta pemerdagangan manusia.
Perkara itu disampaikan Mahfud selaku Koordinator ketika mempengerusikan mesyuarat ke-26 Dewan Politik dan Keselamatan Asean (APSC) bersama Menteri Luar, Retno Marsudi di Labuan Bajo.
“ASEAN mesti mempunyai instrumen yang mencukupi untuk mengatasi jenayah pemerdagangan orang.
“Ini termasuk menerima pakai Deklarasi Pemimpin Mengenai Membanteras Pemerdagangan Orang Berpunca daripada Penyalahgunaan Teknologi yang mengandungi pendekatan menyeluruh dari segi pencegahan dan perlindungan mangsa, selain meningkatkan kerjasama antara negara,” katanya.
Dalam pada itu, Mahfud menegaskan, usaha kolaboratif untuk membasmi jenayah pemerdagangan orang di ASEAN sama ada di peringkat dua hala dan serantau perlu diperkasakan.
“Di peringkat dua hala, Kementerian Koordinator Hal Ehwal Politik, Undang-undang dan Keselamatan sudah menyelaras dan menggalakkan pemeteraian Memorandum persefahaman (MoU) antara Polis Negara Indonesia dan Polis Kemboja pada Ogos tahun lalu untuk mengukuhkan kerjasama dalam pengendalian jenayah berkenaan.
“Selain itu, Indonesia dan Malaysia juga sudah bersetuju dengan MoU Pengambilan dan Perlindungan Pekerja Migran Indonesia di Sektor Domestik Malaysia pada April 2022 bagi mengawal selia penggunaan sistem untuk merekrut dan memantau pekerja asing,” jelasnya.
Di peringkat serantau, Mahfud turut menegaskan keperluan mempercepatkan rundingan Perjanjian Ekstradisi ASEAN.
Katanya, perjanjian itu dijangka dapat membantu menghalang rantau ASEAN daripada menjadi syurga penjenayah.
Mesyuarat Majlis APSC berlangsung di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 dari 9 hingga 10 Mei yang dihadiri oleh Presiden Indonesia, Jokowi dan semua Ketua Negara ASEAN.
Mesyuarat APSC ke-26 itu turut dihadiri Setiausaha Agung ASEAN dan semua Menteri Luar anggota ASEAN, kecuali Myanmar.-AGENSI
Sumber: Utusan Malaysia