Terkini
(VIDEO) Along pecah cermin lima kenderaan, jiran jadi ‘kambing hitam’ peminjam
Penduduk di Taman Sri Keramat Tengah di sini bimbang akan keselamatan mereka apabila menjadi ‘kambing hitam’ susulan lima kenderaan di kawasan kejiranan itu dirosakkan dan menerima surat ugutan disyaki daripada along.
- Penduduk di Taman Sri Keramat Tengah di sini bimbang akan keselamatan mereka apabila menjadi ‘kambing hitam’ susulan lima kenderaan di kawasan kejiranan itu dirosakkan dan menerima surat ugutan disyaki daripada along.
- Insiden itu didakwa berlaku berikutan salah seorang daripada kejiranan itu gagal membayar hutang kepada kumpulan terbabit.
- “Dia tinggalkan nota beritahu nama peminjam, no telefon, alamat apa semua. Lepas tu dia tulis dekat situ ‘Kalau kau tak nak bayar, jangan cabar kami. Tolong bayar, kalau tak nak bayar kami akan jadikan rumah-rumah ni mangsa,’ kiranya macam ‘kambing hitam’.
- “Kami hanyalah sekadar jiran, itu yang kami tak puas hati…Kenapa kami yang hanya jiran terpaksa tanggung benda ni sedangkan tiada pertalian pun,” kata salah seorang mangsa, Hani ketika ditemui The Merdeka Times di rumahnya pada Isnin.
- Mangsa kedua dikenali Leeya kesal apabila terpaksa menanggung kerugian RM550 untuk membaiki cermin hadapan kenderaan beliau yang dipecahkan.
- “Kita diberitahu peminjam, dia pinjam RM500 tapi dia dah settle down payment tu RM1,000 pada bulan satu… Kalau kita tengok CCTV, dia (along) datang 18 April (2023), dia simbah cat di rumah peminjam. “ – Leeya
KUALA LUMPUR — Penduduk di Taman Sri Keramat Tengah di sini bimbang akan keselamatan mereka apabila menjadi ‘kambing hitam’ susulan lima kenderaan di kawasan kejiranan itu dirosakkan dan menerima surat ugutan disyaki daripada along.
Insiden itu didakwa berlaku berikutan salah seorang di kejiranan tersebut gagal membayar hutang kepada kumpulan terbabit.
Tinjauan The Merdeka Times di tempat kejadian mendapati cermin hadapan dan belakang beberapa buah kenderaan di sekitar kejiranan itu dipecahkan sekumpulan along sehingga meninggalkan lubang dan serpihan kaca retakan dalam kenderaan.
Kenderaan yang dirosakkan itu juga ditinggalkan dengan surat ugutan yang mengandungi amaran sama dan ditujukan kepada peminjam.
View this post on Instagram
Mangsa (jiran peminjam) yang dikenali sebagai Hani, memberitahu insiden terbabit hanya disedari beliau pada jam 7 pagi apabila kekecohan berlaku di luar rumah membabitkan mangsa lain yang mulai menyedari perkara itu.
“Dia tinggalkan nota beritahu nama peminjam, no telefon, alamat apa semua. Lepas tu dia tulis dekat situ ‘Kalau kau tak nak bayar, jangan cabar kami. Tolong bayar, kalau tak nak bayar kami akan jadikan rumah-rumah ni mangsa,’ kiranya macam ‘kambing hitam’.
“Hari ini dia (along) pecahkan cermin kereta, kalau peminjam still berdegil dia akan simbah cat merah, kalau tak bayar juga diorang akan bakar rumah kami.
“Kami hanyalah sekadar jiran, itu yang kami tak puas hati…Kenapa kami yang hanya jiran terpaksa tanggung benda ni sedangkan tiada pertalian pun,” kata Hani ketika ditemui The Merdeka Times di rumahnya pada Isnin.
Hani berasa kesal apabila mereka yang tiada pertalian dengan peminjam terpaksa menghadapi situasi ini sedangkan peminjam sendiri tidak berdepan sebarang tindakan ganas along.
Katanya, sewaktu beliau membuat laporan, pihak polis turut terkejut dengan insiden itu berikutan ini kali pertama jiran menjadi ‘kambing hitam’ di atas konflik melibatkan along dan peminjam.
“Pada saya sepatutnya along tu berurusan dengan si peminjam bukan dengan kami yang jiran-jirannya sebagai mangsa dan kami tak ada salah, tak ada pinjam, tak ada apa dan mengapa mengancam keselamatan kami?”
“Kami berharap pihak berkuasa ambil tindakan dan bagi jaminan kepada kami tentang apa keselamatan yang polis boleh bagi atau pihak bertanggungjawab boleh bagi atau pun si peminjam boleh jamin kepada kami tentang keselamatan,” katanya.
Mangsa kedua yang ingin dikenali sebagai Kak Leeya turut meluahkan rasa kesal apabila terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM550 untuk membaiki cermin hadapan kenderaan beliau yang dipecahkan.
“Bukan akak sahaja (kereta dipecahkan) ada empat lagi biji kereta ada Iriz, Suzuki Swift, Pesona, Wira dan akak (Naza citra)…dia bermula kalau ikut CCTV dari 5.50 pagi sehingga 6.01 pagi start dari sana (rumah berdekatan peminjam) sebaris rumah itu dan seberang ini akak seorang kena.
“Memang cuak juga lah kan takut dia (along) boleh buat lebih lagi, sebab dia kata dia boleh bakar rumah tu bukan rumah dia je yang kena, semua boleh kena,” katanya.
Leeya juga memaklumkan beliau bersama mangsa lain ada berjumpa dengan keluarga peminjam untuk menuntut penjelasan susulan insiden itu bagaimanapun dia gagal ditemui mereka.
Katanya, sekitar April lalu rumah peminjam pernah disimbah cat merah namun kali ini kenderaan jiran pula yang menjadi mangsa.
“Kita diberitahu peminjam, dia pinjam RM500 tapi dia dah settle down payment tu RM1,000 pada bulan satu… Kalau kita tengok CCTV, dia (along) datang 18 April (2023), dia simbah cat di rumah peminjam.
“So peminjam dengan parents dia pun dah buat laporan polis apa semua tapi mungkin tiada susulan apa semua so mungkin dekat surat ugutan tu dia tulis last warning sebab dia kata pinjaman tu sudah melebihi lebih RM30,000 lah.
“Tapi kita tak pasti kalau ada yang tersembunyikan ke amount sebenar sebab kalau RM500 orang kata tak banyak juga kan… boleh dibayar so sebab amount sampai RM30,000 rasanya ia satu amount yang besar,” katanya yang juga merupakan seorang penjual bunga.
The Merdeka Times berusaha untuk mendapatkan penjelasan daripada individu yang didakwa peminjam menerusi panggilan telefon serta mengunjungi rumah beliau, kami bagaimanapun gagal mendapatkan maklum balas daripadanya.
Pada masa sama, Balai Polis Taman Melawati turut mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut. — The Merdeka Times