Antarabangsa
Rumah gadis Dalit dibakar perogolnya, dua bayi melecur dan kritikal
Rumah seorang gadis bawah umur dari masyarakat Dalit dibakar lelaki yang merogolnya tahun lalu, menyebabkan bayi lelakinya dan adik perempuannya yang berusia dua bulan melecur dan sedang kritikal di hospital.
- Rumah seorang gadis bawah umur dari masyarakat Dalit dibakar sekumpulan lelaki di mana dua daripada pelaku itu, pernah merogolnya tahun lalu.
- Kejadian berlaku pada lewat Isnin di Unnao, India, mengakibatkan bayi lelaki mangsa dan adik perempuannya berusia dua bulan melecur dan sedang kritikal di hospital.
- Pelaku dikatakan berang selepas mangsa enggan menarik balik kes rogol beramai-ramai yang berlaku pada 13 Februari 2022.
- Dalit atau Paria dalam sistem kasta masyarakat Hindu di India merujuk kepada individu yang tergolong dalam kelompok paling rendah dalam sistem kasta (malah ada mengatakannya ia di luar sistem kasta) dan diharamkan untuk disentuh atau ‘untouchable’.
Rumah seorang gadis bawah umur dari masyarakat Dalit dibakar lelaki yang merogolnya tahun lalu, menyebabkan bayi lelakinya dan adik perempuannya yang berusia dua bulan melecur dan sedang kritikal di hospital.
Dalam kejadian pada lewat Isnin di Unnao, India, dua perogol gadis itu yang baru sahaja diikat jamin bertindak menceroboh rumah mangsa bersama lima lelaki lain.
Memetik laporan India Today, mereka dikatakan membakar rumah tersebut selepas mangsa enggan menarik balik kes itu.
Mereka turut membelasah ibu mangsa sebelum membakar kandang jerami milik keluarga itu.
Akibatnya, bayi lelaki mangsa melecur 35 peratus dan adik perempuannya pula melecur 45 peratus dalam kejadian itu.
“Memandangkan keadaan mereka semakin teruk, kedua-dua kanak-kanak itu dihantar ke Kanpur untuk rawatan yang lebih baik,” kata ketua superintendan perubatan, Sushil Srivastava.
Kedua-dua bayi itu kini dilaporkan dalam keadaan kritikal.
Terdahulu, gadis Dalit di bawah umur itu dirogol beramai-ramai pada 13 Februari 2022, demikian menurut polis tempatan.
Hasil serangan seksual itu, dia telah hamil dan melahirkan seorang anak lelaki pada bulan September tahun sama.
Dalit atau Paria dalam sistem kasta masyarakat Hindu di India merujuk kepada individu yang tergolong dalam kelompok paling rendah dalam sistem kasta (malah ada mengatakannya ia di luar sistem kasta) dan diharamkan untuk disentuh atau ‘untouchable’.
Dalit dilarang melakukan pekerjaan, kecuali pekerjaan yang dianggap ‘kotor’ atau ‘tidak bermaruah’ bagi masyarakat kasta tinggi seperti kerja pembersihan, kutip sampah dan buruh binaan.
Sistem kasta di India dilaporkan dimansuhkan pada 1950-an tetapi sistem hieraki sosial berusia 2,000 tahun itu, yang menetapkan kedudukan individu berdasarkan keturunan kelahirannya, masih wujud dalam kehidupan harian masyarakat Hindu di India.
Sumber: India Today