Antarabangsa
Ribuan tanah Palestin bakal dirampas lagi rejim Israel
Negara haram Israel meluluskan beberapa rancangan untuk membina jalan penempatan di sekitar bandar Baitulmaqdis yang diduduki, lapor Channel 7.
- Negara haram Israel meluluskan beberapa rancangan membina jalan penempatan di sekitar bandar Baitulmaqdis.
- Pentadbiran Awam telah meluluskan pembinaan Jalan No 45 yang akan melintasi kem pelarian Qalandia dan merampas ribuan tanah milik Palestin.
- Pihak berkuasa Israel juga telah meluluskan pembinaan jalan yang menghubungkan Jalan No 1, barat Baitulmaqdis dengan Jalan No 60 serta kawasan kejiranan bandar itu.
- Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich mendakwa, kelulusan projek jalan raya itu bertujuan memudahkan pergerakan penceroboh haram.
RAMALLAH – Negara haram Israel meluluskan beberapa rancangan untuk membina jalan penempatan di sekitar bandar Baitulmaqdis yang diduduki, lapor Channel 7.
Saluran Israel itu berkata, Pentadbiran Awam telah meluluskan pembinaan Jalan No 45 yang akan melintasi kem pelarian Qalandia dan merampas ribuan tanah milik Palestin.
Jalan berkenaan akan menghubungkan Bulatan Mukhmas di Jalan No 60 dan penempatan Migron serta Kochav Ya’akov terus dengan Jalan No 443, barat daya Ramallah, bersebelahan perkampungan di Baitulmaqdis.
Pihak berkuasa Israel juga telah meluluskan pembinaan jalan yang menghubungkan Jalan No 1, barat Baitulmaqdis dengan Jalan No 60 serta kawasan kejiranan bandar itu.
Dilaporkan, jalan itu bertujuan untuk memintas bandar Sur Baher, timur Baitulmaqdis dan merampas beribu-ribu tanah pertanian.
Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich mendakwa, kelulusan projek jalan raya itu bertujuan memudahkan pergerakan penceroboh haram.
Pada 30 Mac, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membentangkan laporan mengenai penempatan dan kesannya terhadap rakyat Palestin.
Dalam laporan itu, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia, Volker Turk berkata, jumlah penceroboh Israel di Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis meningkat daripada 520,000 kepada 700,000 sejak sedekad lalu.
Laporan itu mendokumenkan hubungan antara perluasan penempatan Israel dan serangan penceroboh terhadap Palestin, di mana 3,372 insiden keganasan yang mengakibatkan 1,222 rakyat Palestin cedera.
Sumber: Ismaweb