Antarabangsa
Lebih 3,000 banduan diberi pengampunan di Myanmar
Junta Myanmar hari ini, membebaskan seramai 3,113 banduan, termasuk 98 warga asing sempena sambutan Tahun Baharu negara itu.
- Junta Myanmar hari ini, membebaskan seramai 3,113 banduan, termasuk 98 warga asing sempena sambutan Tahun Baharu negara itu.
- Perkara itu dimaklumkan kerajaan tentera dalam satu kenyataan menerusi saluran Telegram pro-tentera.
- Sejak rampasan kuasa pada 2021, kerajaan pimpinan tentera memenjarakan ribuan penentang dan aktivis pro-demokrasi dan secara kejam menghentikan bantahan yang mengundang kecaman global.
- Setiausaha kerajaan junta, Leftenan Jeneral Aung Lin Dwe, dalam satu kenyataan, berkata pengampunan itu sempena ‘perayaan Tahun Baharu Myanmar bagi membawa kegembiraan kepada rakyat dan menangani kebimbangan kemanusiaan’.
NAYPYIDAW: Junta Myanmar hari ini, membebaskan seramai 3,113 banduan, termasuk 98 warga asing sempena sambutan Tahun Baharu negara itu.
Perkara itu dimaklumkan kerajaan tentera dalam satu kenyataan menerusi saluran Telegram pro-tentera.
Sejak rampasan kuasa pada 2021, kerajaan pimpinan tentera memenjarakan ribuan penentang dan aktivis pro-demokrasi dan secara kejam menghentikan bantahan yang mengundang kecaman global.
Setiausaha kerajaan junta, Leftenan Jeneral Aung Lin Dwe, dalam satu kenyataan, berkata pengampunan itu sempena ‘perayaan Tahun Baharu Myanmar bagi membawa kegembiraan kepada rakyat dan menangani kebimbangan kemanusiaan’.
Jurucakap junta bagaimanapun tidak menjawab panggilan telefon untuk mendapatkan komen dan setakat ini tidak jelas siapa individu yang termasuk dalam senarai pengampunan.
Pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, yang juga pemenang Nobel dan ketua penentang pemerintahan tentera, sedang menjalani hukuman penjara 33 tahun selepas perbicaraan segera yang dikutuk di peringkat antarabangsa sebagai penipuan.
Junta turut menahan pegawai kanan kerajaan awam yang digulingkan dalam rampasan kuasa 2021.
Sebuah kumpulan aktivis, Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik, memaklumkan sekurang-kurangnya 17,460 orang kekal dalam tahanan dan 3,240 dibunuh oleh junta.
Junta secara berkala memberikan pengampunan kepada banduan, namun jumlah pada tahun ini dan 2022 adalah sebahagian kecil daripada 23,000 yang dibebaskan ketika sambutan yang sama pada 2021.
Pertubuhan hak asasi manusia dan kebanyakan pemimpin dunia berulang kali meminta junta membebaskan semua tahanan politik.
Sumber: Berita Harian