Antarabangsa
Dalit Kristian dan Islam tuntut disenaraikan dalam Kasta Terjadual di India
Majlis Kebangsaan Kristian Dalit (NCDC) membuat bantahan di Jantar Mantar, New Delhi menggesa agar penganut Kristian dan Muslim dari golongan Dalit untuk dimasukkan ke dalam senarai Kasta Terjadual.

- Majlis Kebangsaan Kristian Dalit (NCDC) membuat bantahan di Jantar Mantar, New Delhi pada 28 Mac lalu menggesa agar penganut Kristian dan Muslim dari golongan Dalit untuk dimasukkan ke dalam senarai Kasta Terjadual.
- Bantahan turut disertai oleh sekutu Dalit Kristian dan badan Dalit Islam.
- Menurut Perintah Perlembagaan (Kasta Terjadual), 1950, ketika ini hanya Dalit beragama Hindu, Buddha atau Sikh boleh dikategorikan sedemikian.
- Dalit atau Paria dalam sistem kasta masyarakat Hindu di India merujuk kepada individu yang tergolong dalam kelompok paling rendah dalam sistem kasta (malah ada mengatakannya ia di luar sistem kasta) dan diharamkan untuk disentuh atau ‘untouchable’.
Majlis Kebangsaan Kristian Dalit (NCDC) membuat bantahan di Jantar Mantar, New Delhi menggesa agar penganut Kristian dan Muslim dari golongan Dalit untuk dimasukkan ke dalam senarai Kasta Terjadual.
Memetik laporan The Hindu, bantahan yang berlaku pada 28 Mac lalu turut disertai sekutu Dalit Kristian dan badan Dalit Islam.
Menurut Perintah Perlembagaan (Kasta Terjadual), 1950, ketika ini hanya Dalit beragama Hindu, Buddha atau Sikh boleh dikategorikan sedemikian.
Dalam demonstrasi itu, NCDC turut menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri, menuntut kerajaan menyelesaikan isu yang berlarutan ini secepat mungkin.
Pegawai NCDC berkata satu-satunya cara untuk isu ini disegerakan ialah dengan memberi lebih tumpuan kepada demonstrasi awam, perhimpunan dan mesyuarat.
“Selepas Hari Paskah pada April ini, kami merancang untuk menghantar wakil ke lima wilayah di negara ini untuk mengumpulkan sokongan tujuan kami dan menyebarkan kesedaran tentang keadaan yang kami alami,” kata Penasihat Kebangsaan NCDC, E.D. Charles.
Katanya, sejumlah 50 perwakilan akan dihantar ke timur, barat, utara, selatan dan tengah India untuk perkara itu, di mana mereka juga akan melibatkan diri dengan pertubuhan Hindu Dalit untuk mengumpulkan sokongan bagi hasrat tersebut.
“Di timur laut juga, kami berhasrat untuk memulakan kempen tuntutan kami dari Assam dan kemudian menyebarkannya ke negeri lain”.
Dalit atau Paria dalam sistem kasta masyarakat Hindu di India merujuk kepada individu yang tergolong dalam kelompok paling rendah dalam sistem kasta (malah ada mengatakannya ia di luar sistem kasta) dan diharamkan untuk disentuh atau ‘untouchable’.
Dalit dilarang melakukan pekerjaan, kecuali pekerjaan yang dianggap ‘kotor’ atau ‘tidak bermaruah’ bagi masyarakat kasta tinggi seperti kerja pembersihan, kutip sampah dan buruh binaan.
Sistem kasta di India dilaporkan dimansuhkan pada 1950-an tetapi sistem hieraki sosial berusia 2,000 tahun itu, yang menetapkan kedudukan individu berdasarkan keturunan kelahirannya, masih wujud dalam kehidupan harian masyarakat Hindu di India.
Sumber: The Hindu
