Terkini
Malaysia belum sedia laksana GST, tahap pendapatan rakyat masih rendah – PM
Malaysia belum bersedia melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana tahap pendapatan rakyat masih rendah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berbanding Malaysia, negara lain yang melaksanakan cukai terbabit seperti Singapura, Kanada atau New Zealand menyaksikan pendapatan minimum rakyat mereka adalah munasabah.
- “Untuk soalan GST, saya sudah menyatakan dari dahulu semasa saya Ketua Pembangkang. Kita belum bersedia kerana tahap pendapatan rakyat masih rendah.”
- “Jadi saya tidak fikir dalam (tempoh) enam bulan atau setahun, kita boleh pertimbangkan (laksana semula GST kerana) pendapatan rakyat mesti naik dahulu, nilai ambang itu perlu munasabah,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini menjawab soalan tambahan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) yang meminta Perdana Menteri beri gambaran bila GST akan diperkenalkan semula.
KUALA LUMPUR: Malaysia belum bersedia melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana tahap pendapatan rakyat masih rendah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, berbanding Malaysia, negara lain yang melaksanakan cukai terbabit seperti Singapura, Kanada atau New Zealand menyaksikan pendapatan minimum rakyat mereka adalah munasabah.
“Untuk soalan GST, saya sudah menyatakan dari dahulu semasa saya Ketua Pembangkang. Kita belum bersedia kerana tahap pendapatan rakyat masih rendah.
“Jadi saya tidak fikir dalam (tempoh) enam bulan atau setahun, kita boleh pertimbangkan (laksana semula GST kerana) pendapatan rakyat mesti naik dahulu, nilai ambang itu perlu munasabah,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) yang meminta Perdana Menteri memberi gambaran bila GST akan diperkenalkan semula.
Anwar berkata, kerajaan tidak boleh mempertimbangkan untuk melaksana semula GST ketika ini kerana jumlah golongan susah masih ramai.
“Sekarang ini (golongan susah) masih terlalu ramai, 130,000 miskin tegar, B40 yang ramai, jadi tidak boleh dipertimbangkan untuk masa sekarang,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit rasuah atau mencuri wang negara.
Tegasnya, beliau juga tidak boleh bertolak ansur dengan pihak yang culas dan mengelak daripada membayar cukai terutama golongan maha kaya.
“Apabila saya ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), saya beritahu, ‘tauke’ maha kaya elak cukai dan ada perlindungan, ini bukan perkara baharu dan saya beritahu, kita jangan tolak ansur dalam memastikan orang maha kaya juga membayar cukai, jangan melarikan wang mereka ke luar negara.
“Ini berlaku dan saya sudah mengarahkan supaya semua siasatan dilakukan termasuk Pandora Papers. Malangnya ada Yang Berhormat seperti Tasek Gelugor pertahankan orang yang lari cukai ini, kononnya kes lama.
“Saya tak peduli lama atau baharu, kalau kamu tipu atau rasuah atau curi wang negara, bayar balik, itu pendapat saya,” katanya.
Sumber: Berita Harian