Terkini
Mais sedia terima permohonan tauliah mengajar agama di Selangor
Kerajaan Selangor tidak ada masalah untuk membenarkan sesiapa saja menyampaikan ceramah agama di negeri itu selagi individu terbabit memiliki tauliah.
- Kerajaan Selangor tidak ada masalah membenarkan sesiapa saja menyampaikan ceramah agama di negeri itu selagi individu terbabit memiliki tauliah.
- Majlis Agama Islam Selangor (Mais) juga terbuka menerima permohonan daripada mana-mana pihak yang mahu mendapatkan tauliah.
- “Mais amat mengalu-alukan semua pihak yang ingin memohon tauliah di Selangor sama ada untuk mengajar, berceramah atau sebagainya,” – Pengerusi Mais Abdul Aziz Mohd Yusof.
- Isu tauliah di Selangor menjadi perhatian akhir-akhir ini apabila dua personaliti berpengaruh tidak dapat menyampaikan ceramah mereka iaitu Azhar Idrus dan Mohamad Wadi Annuar Ayub.
Kerajaan Selangor tidak ada masalah untuk membenarkan sesiapa saja menyampaikan ceramah agama di negeri itu selagi individu terbabit memiliki tauliah.
Bahkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) juga sentiasa terbuka untuk menerima permohonan daripada mana-mana pihak yang mahu mendapatkan tauliah.
“Mais amat mengalu-alukan semua pihak yang ingin memohon tauliah di Selangor sama ada untuk mengajar, berceramah atau sebagainya,” kata Pengerusi Mais Abdul Aziz Mohd Yusof seperti dipetik Sinar Online semalam.
Bagaimanapun dia menjelaskan tiada sebarang keistimewaan atau pengecualian khas diberikan Mais kepada pemohon, termasuk jika mereka terdiri daripada kalangan personaliti popular.
“Setiap individu hendaklah membuat permohonan tauliah kepada Jawatankuasa Tauliah Mais melalui Jais (Jabatan Agama Islam Selangor) terlebih dahulu,” katanya.
Isu tauliah di Selangor menjadi perhatian akhir-akhir ini apabila dua personaliti berpengaruh tidak dapat menyampaikan ceramah mereka iaitu Azhar Idrus dan Mohamad Wadi Annuar Ayub.
Mereka memaklumkan pembatalan program masing-masing melalui media sosial dan kemudian mengundang rasa tidak senang sesetengah pihak.
Bagaimanapun pihak berkuasa agama kemudian menjelaskan kedua-dua mereka tidak dibenarkan berceramah kerana tidak memiliki tauliah seperti sepatutnya.
Untuk rekod Selangor bukan satu-satunya negeri yang mewajibkan seseorang penceramah agama memiliki tauliah sebelum dibenarkan menyampaikan syarahan agama.
Selangor serta beberapa negeri lain turut mengenakan sekatang ke atas pemimpin atau aktivis politik serta wakil rakyat menyampaikan kuliah atau ceramah agama di masjid serta surau.
Abdul Aziz berkata setakat minggu pertama Disember tahun lalu Selangor mengeluarkan tauliah kepada 5,642 penceramah berkelayakan.
Sumber: Malaysiakini