Antarabangsa
Lelaki Jepun takut ambil cuti isteri bersalin walaupun digalakkan kerajaan
Golongan lelaki bekerja di Jepun enggan untuk mengambil cuti isteri bersalin walaupun digalakkan kerajaan negara itu, demikian lapor CNN.

- Golongan lelaki bekerja di Jepun enggan untuk mengambil cuti isteri bersalin walaupun digalakkan kerajaan negara itu.
- Mereka bimbang pengambilan cuti itu akan menjejaskan kerjaya mereka – Ahli sebuah kesatuan buruh khusus pekerja muda POSSE, Makoto Iwahashi.
- Pekerja lelaki Jepun berhak mendapat empat minggu cuti isteri bersalin fleksibel, sehingga 80 peratus daripada gaji mereka.
- Jepun menggalakkan pekerja lelaki mengambil cuti tersebut bagi mengekang budaya ‘gila kerja’ yang turut menjejaskan kadar kelahiran di negara itu.
Golongan lelaki bekerja di Jepun enggan untuk mengambil cuti isteri bersalin walaupun digalakkan kerajaan negara itu, demikian lapor CNN.
Menurut Makoto Iwahashi, ahli POSSE iaitu sebuah kesatuan buruh khusus pekerja muda, lelaki di negara itu takut untuk mengambil cuti berkenaan kerana bimbang akan akibat yang bakal diambil majikan mereka.
Rang undang-undang yang diluluskan Parlimen Jepun pada 2021 menyebut bahawa pekerja lelaki berhak mendapat empat minggu cuti isteri bersalin fleksibel, sehingga 80 peratus daripada gaji mereka.
Bagaimanapun mereka tetap bimbang prospek kenaikan pangkat mereka akan terjejas atau ditukarkan ke jawatan yang lebih kecil hanya kerana mengambil cuti itu.
Walaupun mendiskriminasi pekerja yang mengambil cuti bersalin dan cuti isteri bersalin adalah menyalahi undang-undang di Jepun, Makoto berkata risiko itu tetap ada bagi pekerja kontrak jangka tetap.
Jepun terkenal dengan waktu bekerja yang panjang dan mengakibatkan seorang bapa kehilangan masa bersama keluarga serta seorang ibu yang bekerja dari rumah.
Perkara itu bukan sahaja merancakkan budaya ‘gila kerja’ negara itu, malah turut menjejaskan kadar kelahiran negara sehingga menjadi antara yang terendah di dunia.
Untuk mengatasi permasalahan itu, pihak berkuasa Jepun mempromosikan istilah ikumen secara positif sejak sedekad lalu.
Ikumen adalah istilah yang bermaksud bapa yang melibatkan diri secara aktif dalam kehidupan anak.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Fumio Kishida juga melancarkan sekumpulan dasar pada minggu lalu untuk menyokong usaha tersebut, antaranya meningkatkan kadar bantuan nafkah anak.
Selain itu, kerajaan Jepun turut berikrar meningkatkan kadar pekerja lelaki yang mengambil cuti isteri bersalin daripada kadar terkini iaitu 14 peratus kepada 50 peratus menjelang 2025 dan 85 peratus menjelang 2030.
Sumber: CNN
