Antarabangsa
Lebih 3.7 juta ciapan anti-Muslim dalam tempoh dua tahun, majoriti dari AS, UK dan India
Hampir 86 peratus ciapan (Twitter) anti-Muslim di media sosial datang dari Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan India, demikian menurut laporan Majlis Islam Victoria (ICV) yang berpangkalan di Australia.
- Hampir 86 peratus ciapan (Twitter) anti-Muslim di media sosial datang dari Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan India, demikian laporan Majlis Islam Victoria (ICV).
- Dalam tempoh dua tahun, antara 28 Ogos 2019 dan 27 Ogos 2021, India mencatatkan angka tertinggi dengan 871,379 ciapan Islamofobia, diikuti AS dengan 289,248, dan UK dengan 196,376.
- Twitter tidak menapis siaran secara automatik bagi hantaran berbaur kebencian, sebaliknya hanya bertindak sebaik laporan dibuat.
- Laporan ICV bertajuk Islamophobia in The Digital Age menyimpulkan Twitter secara drastik gagal mengeluarkan kandungan anti-Muslim.
- Sekurang-kurangnya lebih 3.7 juta ciapan Islamofobia di Twitter antara 28 Ogos 2019 dan 27 Ogos 2021.
Hampir 86 peratus ciapan (Twitter) anti-Muslim di media sosial datang dari Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan India, demikian menurut laporan Majlis Islam Victoria (ICV) yang berpangkalan di Australia.
Dalam tempoh dua tahun, antara 28 Ogos 2019 dan 27 Ogos 2021, India mencatatkan angka tertinggi dengan 871,379 ciapan Islamofobia, diikuti AS dengan 289,248, dan UK dengan 196,376.
Laporan ‘Islamophobia in The Digital Age’ menyatakan Islamofobia yang berleluasa di India terhasil daripada normalisasi kebencian terhadap umat Islam oleh Parti Bharatiya Janata (BJP) yang memerintah negara itu.
Di AS, senario Islamophobia diburukkan secara dramatik oleh retorik perkauman, konspirasi dan hasutan dicetuskan (bekas Presiden AS) Donald Trump”, kata laporan itu dipetik Middle East Eye.
Di UK pula kelaziman ciapan anti-Muslim dikaitkan dengan pelbagai faktor, termasuk jangkauan global kebencian dicetuskan Trump, isu sentimen anti-imigran dan isu perkauman disemarakkan bekas Perdana Menteri Britain, Boris Johnson.
Menurut ICV, terdapat sekurang-kurangnya 3,759,180 ciapan Islamofobia di Twitter antara 28 Ogos 2019 dan 27 Ogos 2021.
Selepas hampir setahun, 85 peratus daripada ciapan penuh kebencian itu masih dalam talian dengan hanya 14.8 peratus akhirnya dikeluarkan, sama ada disembunyikan melalui tetapan privasi atau dikeluarkan pengguna atau dipadamkan pengendali.
“Apa yang kami dapat simpulkan adalah Twitter secara drastik gagal mengeluarkan kandungan anti-Muslim.
“Ini tidak mengejutkan kerana mereka (pihak Twitter) tidak menapis siaran secara automatik bagi hantaran berbaur kebencian, sebaliknya hanya bertindak sebaik laporan dibuat,” kata laporan itu.
Laporan itu berkata, secara praktikal, hanya tiga peratus ciapan dipadamkan walaupun isu Islamofobia dibawa kepada perhatian Twitter.
Sumber: Middle East Eye