Connect with us

Terkini

Rasuah urus jenazah, tiga pembantu kesihatan dipenjara

Tiga pembantu perawatan kesihatan (PPK) di Hospital Serdang masing-masing dipenjara tiga hingga lima bulan serta denda antara RM5,000 dan RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menerima rasuah berkaitan kerja-kerja pengurusan jenazah.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Rasuah urus jenazah, tiga pembantu kesihatan dipenjara
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Tiga PPK di Hospital Serdang dipenjara tiga hingga lima bulan serta denda antara RM5,000 dan RM20,000 kerana menerima rasuah berkaitan kerja-kerja pengurusan jenazah.
  • Hukuman itu dijatuhkan terhadap Mohd Shah Rizan Yasak, 43; Mohd Riduan Ibrahim, 41, dan Muhamad Yusri Yusof, 36, selepas mereka mengaku bersalah.
  • Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM20,000 kepada Mohd Shah Rizan, RM10,000 terhadap Mohd Riduan Ibrahim dan RM5,000  terhadap Muhamad Yusri. 
  • Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula hari ini dan penjara enam bulan terhadap Mohd Shah Rizan, empat bulan (Mohd Riduan) dan tiga bulan (Muhamad Yusri) sekiranya gagal membayar denda.

 

SHAH ALAM – Tiga pembantu perawatan kesihatan (PPK) di Hospital Serdang masing-masing dipenjara tiga hingga lima bulan serta denda antara RM5,000 dan RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menerima rasuah berkaitan kerja-kerja pengurusan jenazah.

Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Shah Rizan Yasak, 43; Mohd Riduan Ibrahim, 41, dan Muhamad Yusri Yusof, 36, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan secara berasingan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM20,000 kepada Mohd Shah Rizan manakala masing-masing RM10,000 dan RM5,000 terhadap Mohd Riduan serta Muhamad Yusri.

Mahkamah memerintahkan ketiga-tiga lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan penjara enam bulan terhadap Mohd Shah Rizan, empat bulan (Mohd Riduan) dan tiga bulan (Muhamad Yusri) sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga lelaki itu yang bertugas di Unit Forensik masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM6,250; RM3,550 dan RM1,100 menerusi pemindahan dalam talian dalam akaun bank mereka daripada pemilik sebuah syarikat yang berusia 32 tahun bagi kerja-kerja pengurusan jenazah.

Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di beberapa cawangan bank di Bandar Baru Bangi, Kajang dan Banting, dekat sini antara 18 Mac 2018 dan 7 Ogos 2019.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Rozilah turut menasihati ketiga-tiga tertuduh agar insaf dan berjanji tidak mengulangi kesilapan serupa.

“Sebagai PPK di unit forensik yang menguruskan jenazah dan mayat, kerjaya kamu ini sangat mulia. Sepatutnya, kamu jangan bagi cadangan atau peluang (perbuatan rasuah), kamu tegur perubatan mereka (rasuah) baru ada ada integriti sebagai penjawat awam.

“Dapat duit (gaji) sedikit, biar berkat, guna fikiran Allah bagi untuk menilai baik dan buruk. Apa yang kamu buat ini salah dan harap hukuman ini jadi kifarah kepada kamu,” katanya.

Ketika rayuan, ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak dapat menahan kesedihan dan memohon dikenakan rayuan ringan dengan alasan mereka adalah penanggung utama keluarga.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Alif Shaharuzaman memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan alasan kepentingan awam melebihi daripada kepentingan kesemua tertuduh selain bagi mencerminkan tahap keseriusan kes.

Sementara itu, seorang lagi PPK di hospital sama iaitu Hairul Nizam Idris, 39, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menerima rasuah untuk dirinya berjumlah RM1,100 daripada seorang lelaki menerusi pemindahan dalam talian dalam akaun banknya berhubung kerja-kerja serupa di sebuah cawangan bank di Kajang pada 20 dan 23 April 2018.

Dia dakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bapa tiga anak itu turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Hairul yang diwakili peguam Siti Nurul Jannah Rizali dibenarkan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin serta menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM.

Sebuatan semula kes ditetapkan 17 Mac depan. – BERNAMA  

 

Sumber: BERNAMA

Author