Antarabangsa
Pelajar rayu kebenaran berhijab ketika jalani peperiksaan
Ketua Hakim Negara India, D.Y. Chandrachud pada Rabu berkata, beliau akan mendengar permintaan untuk membenarkan pelajar wanita Muslim, yang telah berpindah ke kolej-kolej persendirian selepas larangan berhijab di kolej pra-universiti awam, memakai hijab ketika mengambil peperiksaan di kolej kerajaan.
- Ketua Hakim Negara India, D.Y. Chandrachud berkata beliau akan mendengar permintaan untuk membenarkan pelajar wanita Muslim memakai hijab ketika mengambil peperiksaan di kolej kerajaan.
- Peguambela berkata mereka menghabiskan satu tahun dan menggesa penyenaraian segera bagi permohonan itu.
- Oktober lalu, panel dua hakim Mahkamah Agung menyampaikan keputusan tidak sepakat mengenai rayuan yang mencabar penghakiman Mahkamah Tinggi Karnataka yang mengekalkan larangan memakai hijab di dalam kelas di kolej pra-universiti.
- Isu itu kini akan didengari oleh panel tiga hakim yang akan diputuskan Ketua Hakim Negara.
KARNATAKA – Ketua Hakim Negara India, D.Y. Chandrachud pada Rabu berkata, beliau akan mendengar permintaan untuk membenarkan pelajar wanita Muslim, yang telah berpindah ke kolej-kolej persendirian selepas larangan berhijab di kolej pra-universiti awam, memakai hijab ketika mengambil peperiksaan di kolej kerajaan.
Mewakili pempetisyen, peguambela Shadan Farasat berkata mereka menghabiskan satu tahun dan menggesa penyenaraian segera bagi permohonan itu.
Mahkamah ingin tahu mengapa mereka tidak dibenarkan untuk menduduki peperiksaan, dan menurut Farasat, ia adalah kerana mereka memakai hijab lalu tidak dibenarkan untuk masuk ke dewan peperiksaan.
“Saya akan jadualkan untuk pendengaran di mahkamah,” demikian respon Ketua Hakim Negara.
Pada Oktober lalu, panel dua hakim Mahkamah Agung menyampaikan keputusan tidak sepakat mengenai rayuan yang mencabar penghakiman Mahkamah Tinggi Karnataka pada 15 Mac 2022 yang mengekalkan larangan memakai hijab di dalam kelas di kolej pra-universiti.
Hakim Hemant Gupta (kini sudah bersara) mengekalkan perintah mahkamah tinggi yang mengesahkan larangan itu dan berkata “ia hanya untuk menggalakkan keseragaman dan persekitaran sekular” di dalam kelas, manakala Hakim Sudhanshu Dhulia mengetepikan perintah mahkamah tinggi dan mengatakan hak untuk berhijab di dalam kelas adalah hak asasi.
Ini bermaksud isu itu kini akan didengari panel tiga hakim di mana Ketua Hakim Negara akan memutuskan panel yang akan terlibat dalam kes itu.
Sumber: Indian Express