Terkini
Menu Rahmah bukan langkah proaktif selesaikan isu kenaikan harga barang
Pelancaran Menu Rahmah bagi hidangan makan tengah hari atau malam untuk golongan B40 Selasa lalu disifatkan sebagai satu usaha baik namun sudah dipraktikkan peniaga di gerai atau kedai makan.
- Penjual dan pelanggan mendakwa, pihak berkuasa perlu mengawal harga di peringkat pemborong dan orang tengah kerana ia jadi faktor utama yang terus menghimpit mereka dan para pelanggan.
- “Peniaga makanan berharap harga barang mentah dapat dikawal sebelum sampai kepada peniaga sebab kami hanya menjual makanan sahaja dan perlu membeli bahan mentah sebelum ia dapat dimasak.” – Pemilik Kedai Makan Ziela Kaman, Razilah Kaman@Mohd Nor
- “Sesetengah peniaga agak susah turunkan harga namun saya perlu kekalkan menu makan tengah hari iaitu nasi putih, ayam gulai, ulam dan sambal belacan serta pilihan air jagung atau air limau pada harga RM5,” katanya.
- Peningkatan harga bahan mentah menyukarkan peniaga turunkan harga, sekali gus menyebabkan pelanggan terima tempias. – Pelanggan, Borhanuddin Yusof
SHAH ALAM – Pelancaran Menu Rahmah bagi hidangan makan tengah hari atau malam untuk golongan B40 Selasa lalu disifatkan sebagai satu usaha baik namun sudah dipraktikkan peniaga di gerai atau kedai makan.
Rata-rata peniaga makanan yang ditemui menyifatkan cadangan agar mereka menawarkan harga makanan murah disifatkan bukan langkah proaktif dalam menyelesaikan isu kenaikan harga barangan ketika ini.
Sebaliknya, penjual dan pelanggan mendakwa, pihak berkuasa perlu mengawal harga di peringkat pemborong dan orang tengah kerana ia menjadi faktor utama yang terus menghimpit mereka dan para pelanggan.
Pemilik Kedai Makan Ziela Kaman, Razilah Kaman@Mohd Nor, 51, berkata, tindakan mengawal harga barang tersebut mampu untuk mengekang kenaikan harga barangan yang terus berlarutan sehingga kini.
“Peniaga makanan tentu berharap agar harga barang mentah dapat dikawal sebelum sampai kepada peniaga sebab kami hanya menjual makanan sahaja dan perlu membeli bahan mentah sebelum ia dapat dimasak.
“Sesetengah peniaga agak susah turunkan harga namun saya perlu mengekalkan menu makan tengah hari iaitu nasi putih, ayam gulai, ulam dan sambal belacan serta pilihan air jagung atau air limau pada harga RM5.
“Selain itu, makanan sarapan pagi seperti nasi lemak dengan aneka lauk masih dijual murah, harga minuman juga masih rendah dan harga ini sudah bermula sebelum pelancaran Menu Rahmah lagi,” katanya.
Razilah yang sudah menjalankan perniagaan makanan dan minuman lebih 15 tahun itu ditemui Sinar Harian di Kedai Makan Ziela Kaman miliknya, di Kampung Kebun Bunga di Batu Tiga, Shah Alam di sini pada Khamis.
Disebabkan peningkatan harga bahan mentah, Razilah menambah, modal harian untuk menguruskan jualannya turut terpaksa dinaikkan namun memilih untuk menanggung kos bagi mengelakkan kenaikan harga jualannya.
Situasi sama turut menghimpit pelanggannya, Borhanuddin Yusof, 59, yang mengakui peningkatan harga bahan mentah menyukarkan peniaga menurunkan harga, sekali gus menyebabkan pelanggan menerima tempias.
“Dalam keadaan sekarang ini semua barang mahal, harga ikan pun mahal walaupun sekali sekala boleh tukar selera tetapi kalau harga makanan naik ramai yang akan pening kepala,” katanya.
Pada Selasa, lebih 15,000 restoran menawarkan Menu Rahmah berharga RM5 bagi hidangan makanan tengah hari atau makan malam untuk golongan B40.
Ia selaras dengan pelancaran inisiatif Menu Rahmah oleh kerajaan bertujuan memastikan golongan B40 khususnya mampu membeli makanan di restoran pada harga yang berpatutan.
Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaporkan berkata, menerusi inisiatif itu, diharap tiada lagi golongan sasar yang tidak mampu membeli makanan di restoran.
Sumber: Sinar Harian