Terkini
Isu Kampung Baru: Kaedah pembangunan baharu akan diteliti – PM
Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak beberapa cadangan pembangunan semula Kampung Baru yang dikemukakan kerajaan terdahulu, sebaliknya memberi jaminan pentadbirannya akan mencari kaedah lain yang menjaga kepentingan orang Melayu di penempatan itu.
- Perdana Menteri berkata, terdapat tiga cadangan dikemukakan berhubung pembangunan Kampung Baru sebelum ini, namun beliau melihat cadangan itu tidak wajar dilaksanakan kerana mengabaikan kepentingan orang Melayu atau membebankan kerajaan.
- Beliau memohon semua pihak beri tempoh kepada Kerajaan Perpaduan memikirkan kaedah lebih sesuai, dengan jaminan sebarang cadangan akan babitkan rundingan bersama penduduk dan pemilik tanah di Kampung Baru.
- “Apa pun kita lakukan, harus memastikan pembangunan berjalan tetapi kepentingan masyarakat Melayu di Kampung Baru tetap dipertahankan,” katanya.
- Beliau menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang bertanya sama ada kerajaan akan meneruskan pembangunan menyeluruh Kampung Baru seperti diusahakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak beberapa cadangan pembangunan semula Kampung Baru yang dikemukakan kerajaan terdahulu, sebaliknya memberi jaminan pentadbirannya akan mencari kaedah lain yang menjaga kepentingan orang Melayu di penempatan itu.
Perdana Menteri berkata, terdapat tiga cadangan yang dikemukakan berhubung pembangunan Kampung Baru sebelum ini, namun beliau melihat ketiga-tiganya tidak wajar dilaksanakan kerana mengabaikan kepentingan orang Melayu atau membebankan kerajaan.
Sehubungan itu, beliau memohon semua pihak memberi tempoh kepada Kerajaan Perpaduan memikirkan kaedah yang lebih sesuai, dengan jaminan sebarang cadangan akan membabitkan rundingan bersama penduduk dan pemilik tanah di Kampung Baru.
“Ada cadangan untuk mengadakan proses jual beli dengan tanggungan kerajaan yang mencecah RM6 hingga RM7 bilion, yang tidak mampu dikendalikan kerajaan sekarang.
“Ada juga cadangan membawa syarikat swasta membangunkan Kampung Baru, tapi menjejaskan kepentingan dan kedudukan orang Melayu di bawah Malay Agricultural Settlement (MAS).
“Ada juga cadangan mengadakan proses pajakan, maknanya penduduk Kg Baru boleh pajak. Saya tidak fikir ini semua wajar. Kalau pajak 60 hingga 99 tahun, akan timbul keresahan dalam kalangan masyarakat Melayu di Kampung Baru kerana terlepas tangan. Ini saya tak boleh terima.
“Apa pun kita lakukan, harus memastikan pembangunan berjalan tetapi kepentingan masyarakat Melayu di Kampung Baru tetap dipertahankan,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang bertanya sama ada kerajaan akan meneruskan pembangunan menyeluruh Kampung Baru seperti diusahakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.
Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) yang bertanya mengenai tindakan Khalid yang membuat tawaran kepada penduduk Kampung Baru tanpa kelulusan Kabinet, Anwar memberi jaminan sebarang cadangan pembangunan Kampung Baru di bawah pentadbirannya akan dilaksanakan selepas kelulusan jemaah menteri.
Perdana Menteri juga memberi jaminan akan berunding terlebih dahulu dengan Johari selaku wakil rakyat yang mewakili penduduk Kampung Baru, serta pemilik tanah di kawasan itu sebelum membuat sebarang keputusan.
“Saya terus terang, kalau minta RM7 bilion (untuk bangunkan Kampung Baru), memang wang tidak ada. Dalam keadaan kita ada kekangan kewangan, kita tetap tak sedia melepaskan hak milik orang Melayu di situ.
“Sebab itu kena runding cara, kaedah termasuk jika dilaksanakan bersama pihak swasta. Jika swasta sekali pun, jangan sehingga ada program pajakan yang menyebabkan orang bukan Melayu boleh duduk sampai 60 hingga 90 tahun.
“Jaminan oleh menteri yang lalu itu tidak mempengaruhi dasar yang akan dilaksanakan. Apa-apa yang membabitkan peruntukan besar mesti di bawa ke Kementerian Kewangan dan jemaah menteri meluluskan,” katanya.
Sumber: Berita Harian