Terkini
Gaji permulaan doktor Gred UD41 tinggi, Pakar perubatan sifatkan kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan tidak tepat
Kenyataan gaji permulaan diterima Pegawai Perubatan Gred UD41 jauh lebih tinggi berbanding skim perkhidmatan awam lain di peringkat Kumpulan Pengurusan dan Profesional Gred 41 dan ke atas disifatkan tidak begitu tepat.
- Kenyataan gaji permulaan Pegawai Perubatan Gred UD41 jauh lebih tinggi berbanding skim perkhidmatan awam lain di peringkat Kumpulan Pengurusan dan Profesional Gred 41 dan ke atas tidak begitu tepat.
- Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar cadang Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dan Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni semak dan bincang semula isu itu termasuk masa kerja serta imbuhan.
- Beliau melihat rata-rata ‘job security’ seorang doktor atau pegawai kontrak di tahap amat rendah termasuk isu gaji.
- “Gaji awal RM5,197? Wow. Mungkin dia ambil kira yang kerja di Sabah Sarawak, dapat elaun lebih. Dan dia tak tolak KWSP semua. Itu pun saya tak rasa gaji asal saya setinggi ini.” – Pakar Perubatan Keluarga, Dr Amirul Amzar.
- Gaji awal pegawai perubatan selepas tolak bayaran cukai bulanan, KWSP dan sebagainya adalah sekitar RM3,000 – RM4,000 lebih sahaja. – Pengarah Perubatan dan Pemilik Klinik Iris, Dr Arisman Wenge.
KUALA LUMPUR – Kenyataan gaji permulaan diterima Pegawai Perubatan Gred UD41 jauh lebih tinggi berbanding skim perkhidmatan awam lain di peringkat Kumpulan Pengurusan dan Profesional Gred 41 dan ke atas disifatkan tidak begitu tepat.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar mencadangkan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dan Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni menyemak dan membincang semula isu berkenaan termasuk masa kerja serta imbuhan.
Katanya, beliau melihat rata-rata ‘job security’ sebagai seorang doktor atau pegawai kontrak boleh dikatakan di tahap amat rendah termasuk isu gaji.
“Jadi tidak ada jalan lain yang kita nampak sebab kita tied up sistem kesihatan perkhidmatan awam di Malaysia.
“Jadi walaupun gaji itu nampak lebih tapi dari masa kerja tanggungjawab dan lain-lain maka dibandingkan hours to hours ataupun dollar to dollar masih sangat rendah dibandingkan dengan sektor-sektor lain juga sektor luar negara,” katanya ketika ditemu bual dalam program Di Sebalik Isu Bersama Finaz Yunus terbitan Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Menteri Kesihatan, Tuan Lukanisman berkata, pegawai perubatan di Kementerian Kesihatan menerima emolumen atau gaji permulaan berjumlah RM5,197 dengan kadar kenaikan gaji (KGT) sebanyak RM225 setahun.
Bagaimanapun, kenyataan itu mendapat kritikan dari doktor-doktor di media sosial yang menegaskan perkara itu tidak tepat dan mengelirukan.
Pakar Perubatan Keluarga, Dr Amirul Amzar turut berkongsi pandangan sama menegaskan kenyataan itu tidak tepat, mitos dan salah faham yang mencemarkan kredibiliti doktor-doktor KKM.
“Gaji awal RM5,197? Wow. Mungkin dia ambil kira yang kerja di Sabah Sarawak, dapat elaun lebih. Dan dia tak tolak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semua. Itu pun saya tak rasa gaji asal saya setinggi ini.
“Elaun on-call RM250 semalam? Wow. Eh kejap. Tahu tak on call kami macam mana? Kerja non-stop 8 pagi ke 8 pagi esoknya, dan sambung ke 5 petang. 33 jam. RM7.57/sejam.
“Lupa pulak nak cakap, gaji RM5K lebih itu termasuk elaun fleksi. Yang dah dapat elaun fleksi tak boleh claim on-call dah,” kata Dr Amirul dalam hantaran di Facebook.
Mengulas perkhidmatan extended hours dikatakan dibayar RM80 sejam, Dr Amirul berkata itu bagi mereka yang membuat locum.
Senada dengan mereka adalah Pengarah Perubatan dan Pemilik Klinik Iris, Dr Arisma Wenge yang menjelaskan bahawa gaji awal pegawai perubatan KKM Gred UD41 iaitu sebagai doktor pelatih yang dikatakan RM5,197 adalah keseluruhan gaji bukan gaji pokok.
Dr Arisman berkata, kenyataannya gaji awal pegawai perubatan ini selepas menolak bayaran cukai bulanan, KWSP dan sebagainya adalah sekitar RM3,000 hingga RM4,000 lebih sahaja.
Katanya, dengan jumlah gaji awal sebegitu bagi seorang pegawai perubatan pelatih dengan waktu kerja tidak menentu malah lebih masa seperti tidak ubah pekerja buruh kasar bukannya lagi seorang profesional.
Beliau berkata, elaun on-call hanya layak pada mereka yang telah menjadi pegawai perubatan tetap iaitu selepas lulus fasa dua tahun atau lebih sebagai pegawai perubatan pelatih atau doktor pelatih.
Katanya, bayaran elaun itu juga tidak dimasukkan atau diterima pada bulan sama mereka bertugas. – The Merdeka Times
Sumber : Facebook Dr. Arisman, MD, Amirul Amzar