Terkini
Apa status Hospital Maran? – Ahli Parlimen
Status Hospital Maran bernilai RM350 juta yang diluluskan dalam Bajet 2023 oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kini ibarat ‘digantung tidak bertali’.
- Ini berikutan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan bahawa Belanjawan 2023 diteliti semula dan tidak terikat dengan belanjawan yang lalu.
- Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib berkata, usul khas akan dikemukakan dalam sidang Dewan Rakyat dengan membawa harapan masyarakat daerah itu supaya projek hospital itu diteruskan mengikut kelulusan asal.
- “Status Hospital Maran ketika ini menjadi tanda tanya dan melalui jalan berliku berikutan perubahan tampuk pemerintahan selepas PRU15.” katanya.
MARAN: Status Hospital Maran bernilai RM350 juta yang diluluskan dalam Bajet 2023 oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kini ibarat ‘digantung tidak bertali’.
Ini berikutan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang menegaskan bahawa Belanjawan 2023 diteliti semula dan tidak terikat dengan belanjawan yang lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib berkata, usul khas akan dikemukakan dalam sidang Dewan Rakyat dengan membawa harapan masyarakat daerah itu supaya projek hospital tersebut diteruskan mengikut kelulusan asal.
“Status Hospital Maran ketika ini menjadi tanda tanya dan melalui jalan berliku berikutan perubahan tampuk pemerintahan selepas PRU15.
“Saya sebagai pencetus idea hospital ini tetap memperjuang pelaksanaannya yang sudah pun diluluskan pada era bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi berdepan penangguhan ekoran pergolakan politik negara sejak 2018,” katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, tapak pembinaan Hospital Maran di Kampung Batu 55, Jalan Kuala Sentul-Maran hanya menunggu masa untuk dibangunkan.
“Saya akan terus memperjuangkan supaya hospital ini dapat direalisasikan dalam tempoh lima tahun ini. Saya juga akan kemukakan kepada Perdana Menteri supaya peruntukan RM350 juta untuk Hospital Maran tidak akan dikeluarkan daripada pengumuman bajet asal.
“Paling tidak pun sebahagian peruntukan awal, sebab kerja-kerja tanah telah pun bermula di samping harapan tinggi kira-kira 140,000 penduduk yang menanti puluhan tahun hospital ini,” katanya. – UTUSAN
Sumber: Utusan