Terkini
Murid akan mendapat hak mereka – Menteri Pendidikan
Kementerian Pendidikan memberi jaminan murid yang sepatutnya menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang disamun selepas dikeluarkan dari bank oleh seorang guru besar semalam akan mendapat hak masing-masing.
- Kementerian Pendidikan memberi jaminan murid sepatutnya menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang disamun selepas dikeluarkan dari bank oleh seorang guru besar semalam akan mendapat hak masing-masing.
- “Hak mereka (murid) kita akan terus pertahan dan kita jamin akan pastikan mereka (penerima bantuan) dapat hak mereka.
- “Kita akan lihat apa prosesnya sebab untuk prosedur operasi standard (SOP) kewangan ini kalau hilang sebab cuai dan sebagainya akan ada proses dia,” – Menteri Pendidikan, Fahdlina Sidek.
IPOH: Kementerian Pendidikan memberi jaminan murid yang sepatutnya menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang disamun selepas dikeluarkan dari bank oleh seorang guru besar semalam akan mendapat hak masing-masing.
Menteri Pendidikan, Fahdlina Sidek, berkata mereka yang berhak patut menerima bantuan itu.
“Hak mereka (murid) kita akan terus pertahan dan kita jamin akan pastikan mereka (penerima bantuan) dapat hak mereka.
“Kita akan lihat apa prosesnya sebab untuk prosedur operasi standard (SOP) kewangan ini kalau hilang sebab cuai dan sebagainya akan ada proses dia,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau ditemui sewaktu lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Chepor, di sini hari ini.
Fahdlina mengesahkan berlaku pelanggaran SOP dalam proses pengambilan wang tunai dari bank yang dilakukan guru besar sebuah sekolah di Beranang, Kajang yang menjadi mangsa samun di Pekan Semenyih, semalam.
Katanya, pelanggaran itu membabitkan ketiadaan pengiiring (escort) yang bersama guru berkenaan sama ada dalam kalangan guru lain atau polis sewaktu mengeluarkan wang tunai berjumlah RM109,000 yang diperuntukkan bagi BAP itu.
“SOP kewangan telah dilanggar (sedangkan) kita ada SOP yang cukup ketat iaitu jika membawa wang lebih dari RM10,000 mestilah ada pengiring, inikan pula satu jumlah yang cukup besar (RM109,000 yang hilang),” katanya.
Menurutnya lagi, pihaknya tidak akan berkompromi dengan isu berkenaan yang dianggap serius dan sedang menunggu laporan penuh siasatan daripada polis serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor sebelum menentukan tindakan susulan yang bersesuaian.
Sama ada kes berkenaan boleh dianggap sebagai kelalaian, beliau berkata ketika ini masih awal untuk disimpulkan selagi laporan penuh belum diterima pihaknya.
“Kita kena tunggu laporan daripada JPN Selangor secara keseluruhannya, saya tak boleh nak simpulkan selagi tak dapat laporan penuh JPN serta polis dan seperti saya sebutkan, kita tidak akan berkompromi,” katanya.
Berdasarkan SOP tatacara pengeluaran wang tunai KPM, pengeluaran wang tunai dari bank oleh Guru Besar atau pengetua di bawah jumlah RM10,000 mesti diiringi dua guru lain dan bagi jumlah melebihi itu, adalah dinasihatkan mengambil langkah keselamatan tambahan seperti mendapatkan perkhidmatan pengiring polis, jika perlu.
“Untuk tindakan terhadap guru besar itu, kita serah kepada JPN dan polis sebagai jaminan bahawa kes ini sedang disiasat dengan teliti,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dilapor berkata, pihaknya tidak mendapat permohonan pengiring daripada guru besar berusia 50 tahun berkenaan untuk tujuan pengeluaran wang yang hilang itu malah guru besar terbabit memberi alasan sudah biasa mengambil wang BAP tanpa pengiring polis sejak 10 tahun lalu.
Dalam kejadian semalam, wang bantuan berkenaan dilaporkan dilarikan oleh penjenayah yang memecahkan cermin kereta guru besar berkenaan semalam yang diletakkan meletaknya dalam beg di tempat duduk penumpang hadapan kereta sebelum cermin kenderaannya itu dipecahkan ketika pergi membeli minuman.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina mengumkan peruntukan RM150,000 kepada SK Chepor untuk penyelenggaraan dan pembaikan beberapa fasiliti sekolah seperti tandas serta tembok pagar sekolah serta RM400,000 kepada SK Seri Tanjung, Tanjung Rambutan yang dilawatinya sebelum itu juga bagi tujuan menyelenggara sekolah yang disifatkan daif itu.
Sumber: Berita Harian