Terkini
Lebih 15, 000 restoran tawarkan ‘Menu Rahmah – RM5’ bagi B40 mula hari ini
Lebih 15,000 restoran menawarkan Menu Rahmah berharga RM5 bagi hidangan makanan tengah hari atau makan malam untuk golongan B40, mulai hari ini.
- Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata menerusi inisiatif itu, diharap tiada lagi golongan sasar tidak mampu beli makanan di restoran.
- Pihaknya juga pastikan golongan yang berkemampuan tidak akan ambil kesempatan memilih Menu Rahmah kerana mampu membeli sajian lain.
SUBANG JAYA: Lebih 15,000 restoran menawarkan Menu Rahmah berharga RM5 bagi hidangan makanan tengah hari atau makan malam untuk golongan B40, mulai hari ini.
Ia selaras dengan pelancaran inisiatif Menu Rahmah oleh kerajaan, hari ini, bertujuan memastikan golongan B40 khususnya mampu membeli makanan di restoran pada harga yang berpatutan.
Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata menerusi inisiatif itu, diharap tiada lagi golongan sasar yang tidak mampu membeli makanan di restoran.
“Lebih 15,000 restoran daripada tujuh persatuan pengusaha makanan dan minuman memberi komitmen mereka untuk menyediakan Menu Rahmah di premis masing-masing.
“Saya harap selepas ini, dapatlah golongan ini membeli makanan dan tidak lagi kelaparan kerana tidak mampu membeli makanan di restoran,” katanya selepas Majlis Pelancaran Menu Rahmah, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga pasti golongan yang berkemampuan tidak akan mengambil kesempatan memilih Menu Rahmah kerana mampu membeli sajian lain.
Terdahulu, Salahuddin membuat tinjauan harga barangan di Pasar Raya Mydin, di sini dan beliau berpuas hati dengan kualiti serta harga barangan yang dijual.
“Rata-rata, kita lihat rakyat bijak memilih barangan yang berkualiti dengan harga yang berpatutan sebelum membeli,” katanya.
Beliau turut meninjau bekalan telur dan minyak masak bersubsidi di pasar raya itu.
“Pihak pengurusan Mydin ada mencadangkan supaya subsidi bersasar diberi secara terus kepada pengguna kerana cara itu lebih menguntungkan rakyat.
“Kementerian akan mengkaji cadangan ini sebelum membuat apa-apa keputusan mengenainya. Dalam tinjauan ini juga, rakyat memberi maklum balas positif, namun masih mengharapkan bantuan kerajaan untuk mengawal harga barangan dan menampung kos sara hidup,” katanya.
Sementara itu, Pasar Raya Mydin turut menyumbang 5,000 pek makanan Menu Rahmah kepada pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang terdiri daripada golongan B40.
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin, berkata pihaknya juga komited untuk memastikan semua pengusaha makanan di pasar rayanya di seluruh negara, akan menyediakan Menu Rahmah, untuk tempoh tiga bulan dan diteruskan jika keadaan mengizinkan.
Sumber: Berita Harian