Terkini
Isu anak wanita Malaysia lahir luar negara, KDN tubuh jawatankuasa
Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah menubuhkan jawatankuasa khusus untuk mengkaji undang-undang membabitkan isu berkaitan kewarganegaraan.

- Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menubuhkan jawatankuasa khusus untuk mengkaji undang-undang membabitkan isu kewarganegaraan.
- Ia termasuk perkara membabitkan status anak wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing dan lahir di luar negara serta kanak-kanak berstatus tidak sah taraf.
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah menubuhkan jawatankuasa khusus untuk mengkaji undang-undang membabitkan isu berkaitan kewarganegaraan.
Ia termasuk perkara membabitkan status anak wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing dan lahir di luar negara serta kanak-kanak berstatus tidak sah taraf.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata jawatankuasa itu meneliti semua aspek membabitkan kewarganegaraan.
Beliau berkata, Kertas Jemaah Menteri itu dijangka diangkat ke Kabinet seawal bulan depan.
“Kita sudah menubuhkan sebuah jawatankuasa khusus untuk perkara membabitkan kewarganegaraan dan jawatankuasa itu meneliti semua aspek perundangan yang berkaitan.
“Sudah tentu fungsi Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), perlu kami libaturuskan.
“Akhir sekali hasrat kami adalah untuk mengangkat satu Kertas Jemaah Menteri bagi dimuktamadkan pada peringkat Kabinet,” katanya pada sidang media selepas lawatan rasmi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di sini, hari ini.
Sumber: Berita Harian
