Connect with us

Komuniti

OKU guna kerusi roda dilarang masuk kuil, takut lantai kotor

Sebuah persatuan orang kurang upaya (OKU) mendakwa berlaku diskriminasi oleh pengurusan kuil di Jalan Gasing Petaling Jaya, Selangor apabila seorang individu OKU dilarang memasuki rumah ibadat itu bersama kerusi roda.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

OKU guna kerusi roda dilarang masuk kuil, takut lantai kotor
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Sebuah persatuan orang kurang upaya (OKU) mendakwa berlaku diskriminasi oleh pengurusan kuil di Jalan Gasing Petaling Jaya, Selangor.
  • “Mengapa masih tiada kemudahan untuk OKU di kuil tersebut dan beberapa kuil lain, sedangkan terdapat kuil di Petaling Jaya serta seluruh negara sediakan kemudahan seperti ramp untuk kerusi roda, tandas dan kemudahan lain untuk OKU.” – Presiden Persatuan Damai Orang Kurang Upaya Malaysia, V Murugeswaran
  • Seksyen 34A(1) mewajibkan semua bangunan awam menyediakan akses bagi membolehkan OKU masuk, keluar dan berada dalam bangunan dan sediakan kemudahan-kemudahan berkaitan untuk digunakan oleh OKU.
  • “Sebab dia (pihak pengurusan) kata tiles yang dia buat tu terlalu mahal… kecantikan kuil lebih penting daripada kemudahan OKU (untuk sembahyang) di kuil,

Sebuah persatuan orang kurang upaya (OKU) mendakwa berlaku diskriminasi oleh pengurusan kuil di Jalan Gasing Petaling Jaya, Selangor apabila seorang individu OKU dilarang memasuki rumah ibadat itu bersama kerusi roda.

Presiden Persatuan Damai Orang Kurang Upaya Malaysia, V Murugeswaran merujuk rakaman video tular menunjukkan seorang OKU tidak berpuas hati terhadap pengurusan kuil Maha Sivan Alayam.

Murugeswaran berkata insiden itu bukan pertama kali berlaku terhadap individu OKU yang datang ke situ.

Menurutnya, pihak pengurusan kuil melarang mereka yang berkerusi roda masuk ke kawasan sembahyang di kuil dengan alasan roda akan mengotorkan lantai kuil yang telah berjubin.

Katanya, papan tanda mengenai larangan itu telah ada sejak 2014.

Namun, pada tahun yang sama larangan di papan tanda itu telah ditutup selepas isu itu dibawa kepada perbincangan bersama senator yang mewakili OKU ketika itu, Bathmavathi Krishnan. Tetapi menurut Murugeswaran, dipercayai papan tanda baru mengenai larangan itu telah didirikan semula.

“Saya terkejut semalam (melihat) video tersebut dan perangai presiden kuil tersebut masih sama,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Katanya, golongan OKU yang berkerusi roda hanya dibenarkan berada di luar kuil melainkan mereka meninggalkan kerusi roda untuk masuk ke rumah ibadat berkenaan.

“Ini memang tak masuk akal. Ini satu diskriminasi terhadap OKU,” katanya menambah golongan berkenaan memprotes peraturan tersebut.

Murugeswaran mempersoalkan mengapa masih tiada kemudahan untuk OKU di kuil tersebut dan beberapa kuil lain, sedangkan terdapat kuil di Petaling Jaya serta seluruh negara menyediakan kemudahan seperti ramp untuk kerusi roda, tandas dan kemudahan lain untuk OKU.

Menurut garis panduan perancangan reka bentuk sejagat pada pindaan Undang- Undang Kecil Bangunan Seragam (UKBS) 1984 pada tahun 1990, melalui Seksyen 34A memperuntukkan keperluan penyediaan akses dan kemudahan di bangunan untuk pengguna OKU.

Seksyen 34A(1) mewajibkan semua bangunan awam menyediakan akses bagi membolehkan OKU memasuki, keluar dan berada dalam bangunan dan menyediakan kemudahan-kemudahan berkaitan untuk digunakan oleh OKU.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas daripada presiden kuil Maha Sivan Alayam.

Mengulas lanjut, Murugeswaran berkata keadaan menjadi lebih sukar untuk golongan OKU memasuki kuil sekiranya bangunan tersebut milik persendirian atau NGO tertentu.

Pada masa sama, ditanya sama ada persatuan OKU itu pernah meminta agar pihak pengurusan kuil di Bukit Gasing itu menyediakan kemudahan untuk OKU, Murugeswaran berkata ia mustahil memandangkan mereka pun tidak dibenarkan menjejakkan ke dalam kuil itu.

“Nak masuk pun tak bagi..(pihak) pengurusan lama (kuil tersebut) memang pernah minta (pendapat) dengan saya mengenai kemudahan OKU, tetapi selepas dia (pihak pengurusan baru) ambil alih, dia bawa macam-macam undang-undang baru,” keluhnya.

Tambah Murugeswaran, terdapat sebuah kuil di Shah Alam turut enggan menyediakan kemudahan untuk OKU kerana dilihat akan “merosakkan” kecantikan kuil tersebut.

“Tak nak buat kemudahan untuk kita (OKU), tak nak buat ramp sebab kecantikan kuil akan tercemar.

“Sebab dia (pihak pengurusan) kata tiles yang dia buat tu terlalu mahal… kecantikan kuil lebih penting daripada kemudahan OKU (untuk sembahyang) di kuil,” katanya.

‘Struktur kuil tak sesuai untuk kerusi roda’

Sementara itu, penasihat kuil Maha Sivan Alayam Arun Doraisamy menjelaskan tiada larangan terhadap golongan OKU untuk memasuki kuil tersebut.

Sebaliknya dia berkata struktur sementara kuil tersebut tidak sesuai untuk kerusi roda atas faktor keselamatan dan keadaan lantai.

Dia juga memberi jaminan bangunan kuil itu akan dinaik taraf supaya mesra OKU, dengan penyediaan ramp.

“Saya akui bahawa ia tidak mesra OKU. Isu yang dibangkitkan (dalam video) tidak mencerminkan keadaan sebenar dan ia merupakan luahan terpencil oleh seorang penganut.

“Kami harap dapat berhubung dengan pemilik video berkenaan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Mengulas mengenai penjelasan Arun itu, Murugeswaran hanya berkata Arun tidak memahami isu sebenar yang dibangkitkan.

“Dia buat video (penjelasan) tersebut tanpa tahu masalah yang sebenarnya,” kata Murugeswaran.

Sumber: Malaysiakini

 

Author