Antarabangsa
Ketua kultus mengaku ‘nabi’ kahwini 20 wanita, termasuk anak sendiri
Seorang ketua kultus di negeri Arizona, Amerika Syarikat didakwa kerana mengahwini 20 wanita dan gadis seawal usia sembilan tahun termasuk anak perempuannya sendiri, lapor akhbar Metro UK.
- Samuel Rappylee Bateman, 46, didakwa kahwini 20 wanita dan gadis seawal usia sembilan tahun termasuk anak perempuannya sendiri.
- Bateman merupakan ketua sebuah kumpulan kecil penganut Mormon dikenali sebagai Gereja Fundamentalis Jesus Christ of Latter-Day Saints (FLDS).
- Bateman kahwini wanita kebanyakan remaja bawah umur 15 tahun dan paksa mereka terlibat sumbang mahram, seks pedofilia dan pemerdagangan seks kanak-kanak.
- Bateman arahkan tiga pengikut lakukan hubungan seks dengan anak-anak perempuannya sementara dia menonton di mana seorang daripada mereka berusia 12 tahun.
- Bateman ditangkap polis, September lalu semasa mengangkut gadis bawah umur merentasi sempadan negeri di dalam treler.
WASHINGTON – Seorang ketua kultus di negeri Arizona, Amerika Syarikat didakwa kerana mengahwini 20 wanita dan gadis seawal usia sembilan tahun termasuk anak perempuannya sendiri, lapor akhbar Metro UK.
Menurut kertas pertuduhan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Samuel Rappylee Bateman, 46, ialah ketua sebuah kumpulan kecil penganut Mormon dikenali sebagai Gereja Fundamentalis Jesus Christ of Latter-Day Saints (FLDS).
Selepas mengambil alih kumpulan mempunyai sekitar 50 pengikut itu pada 2019, Bateman mengisytiharkan dirinya seorang ‘nabi’ dan mahu mengahwini anak perempuannya sendiri.
Dalam dakwaan yang disenaraikan oleh FBI, Bateman telah mengahwini 20 wanita dengan kebanyakan mereka adalah remaja bawah umur 15 tahun. Dia memaksa mereka terlibat dalam sumbang mahram, seks pedofilia dan pemerdagangan seks kanak-kanak.
Menurut satu kejadian yang dipetik dalam dokumen itu, Bateman mengarahkan tiga pengikut melakukan hubungan seks dengan anak-anak perempuannya sementara dia menonton. Seorang daripada mereka berusia 12 tahun.
Kejatuhan Bateman berlaku akhir September lalu apabila dia ditangkap polis semasa mengangkut gadis bawah umur merentasi sempadan negeri di dalam treler.
Bateman ditangkap dan didakwa atas tiga pertuduhan penderaan kanak-kanak, walaupun dia kemudian membayar ikat jamin dan dibebaskan.
Tidak lama kemudian, dia ditangkap sekali lagi oleh ejen persekutuan yang mendakwanya dengan tiga pertuduhan.
Majistret AS, Camille Bibles memerintahkan Bateman kekal dalam penjara sementara kes itu berlanjutan di mahkamah. – Agensi
Sumber: Kosmo