Terkini
“Kami mahu kenyataan tegas sokong GEG,” – Doktor tegur Menteri Kesihatan
Seorang pengamal perubatan menegur Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa agar mengeluarkan satu kenyataan tegas berhubung Dasar Generasi Penamat (GEG).
- Seorang pengamal perubatan menegur Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa agar mengeluarkan satu kenyataan tegas berhubung Dasar GEG.
- Dr Arisman Wenge Abdul Rahman berkata petugas-petugas barisan hadapan mahukan beberapa isu lama diketengahkan semula.
- “Seperti Dasar GEG yang telah dipandang hebat oleh dunia luar dan malah mendapat sokongan dari ASH Amerika Syarikat, Kanada dan lain-lain,” katanya.
KUALA LUMPUR – Seorang pengamal perubatan menegur Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa agar mengeluarkan satu kenyataan tegas berhubung Dasar Generasi Penamat (GEG).
Pengarah Perubatan Klinik Iris, Dr Arisman Wenge Abdul Rahman berkata petugas-petugas barisan hadapan mahukan beberapa isu lama diketengahkan semula dan tegas dalam pelaksanaannya.
“Seperti Dasar GEG yang telah dipandang hebat oleh dunia luar dan malah mendapat sokongan dari 18 komuniti kawalan tembakau antarabangsa seperti ASH Amerika Syarikat, Kanada dan lain-lain.
“Dasar ini perlu diperkuatkan semula dan ini yang kami mahu dengar dari ucapan-ucapan permulaan seorang menteri kesihatan.
“Keluarkan satu kenyataan tegas yang menyokong dasar ini untuk dibawa ke Parlimen semula dan berusaha menjanjikan ia akan lulus seperti apa yang telah dimulakan oleh Khairy Jamaluddin Abu Bakar,” tulisnya dalam hantaran Facebook baru-baru ini.
Berikutan khabar pemberian tuala wanita percuma itu, ulasnya, Dr Zaliha tidak perlu menguar-uarkan kepada umum.
“Apatah lagi ia hanya berlaku dalam bangunan pejabat menteri sahaja. Senyap-senyap sahaja dahulu.
“Bukan itu kami petugas kesihatan mahu dengar ataupun majoriti masyarakat Malaysia mahukan dari satu kementerian yang besar dalam negara,” jelasnya yang setuju dengan pelaksanaan inisiatif bagi mencegah kemiskinan haid berkenaan.
Tetapi alangkah lebih baik, katanya, jika program tersebut disasarkan kepada penduduk-penduduk miskin bandar dan pedalaman.
“Mulakan dari situ dahulu. Misalnya setiap bangunan flat atau ada bilik gerakan atau penyelia bertanggungjawab salurkan kepada mereka dan setiap bulan penghuni-penghuni boleh datang ke bilik gerakan ambil tuala wanita percuma untuk dimanfaatkan.
“Atau mulakan dengan pemberian tuala wanita percuma di fasiliti kesihatan yang akan memberi manfaat kepada pesakit-pesakit dalam wad dan juga petugas wanita dalam hospital terutamanya apabila kecemasan,” katanya.
Selain itu, Arisman juga meminta Menteri Kesihatan agar menambah bilangan doktor di fasiliti kesihatan sama ada klinik-klinik mahupun hospital kerajaan.
“Serap semua doktor kontrak tanpa perlu ada pre-test atau sebagainya yang sebenarnya entah apa tujuan berbuat demikian.
“Mereka sudah lulus sebagai doktor pelatih, nak uji apa lagi? Serap jadikan tetap dan sokong serta buka peluang besar untuk mereka menjadi doktor pakar kemudian hari.
“Hal yang sama perlu dilaksanakan kepada petugas kesihatan dan ahli farmasi lainnya,” katanya.
Beliau juga berbesar hati sekiranya Dr Zaliha memandang serius mengenai inisiatif pemberian bajet khas untuk pesakit-pesakit kronik dengan kerjasama daripada pengamal perubatan di fasiliti swasta. – The Merdeka Times
Sumber: Facebook Dr Arisman MD