Terkini
Isu komen ‘kerajaan zina’: Berhak bersuara selagi tak langgar undang-undang – peguam
Dua peguam mengingatkan tentang hak kebebasan bersuara susulan siasatan polis terhadap kenyataan calon Perikatan Nasional (PN) bagi PRU15 Padang Serai, yang didakwa menghina kerajaan baharu.

- Dua peguam mengingatkan tentang hak kebebasan bersuara susulan kenyataan calon PN bagi PRU15 Padang Serai, yang didakwa menghina kerajaan baharu.
- Fahri Azzat dan Jacqueline Albert percaya Azman Nasrudin tidak melakukan jenayah, walaupun masing-masing merasakan kenyataan itu agak kasar.’
- Fahri berkata, kenyataan Azman adalah “kasar dan menyinggung perasaan” namun ia sebahagian “hak dia untuk bersuara”.
- Albert mengakui kenyataan Azman mungkin tidak menyenangkan pihak tertentu tetapi kenyataan itu sah selagi tidak mencetuskan keganasan atau kebencian.
PETALING JAYA: Dua peguam mengingatkan tentang hak kebebasan bersuara susulan siasatan polis terhadap kenyataan calon Perikatan Nasional (PN) bagi PRU15 Padang Serai, yang didakwa menghina kerajaan baharu.
Fahri Azzat dan Jacqueline Albert percaya Azman Nasrudin tidak melakukan jenayah apabila menyifatkan kerajaan perpaduan sebagai “kerajaan zina”, walaupun masing-masing merasakan kenyataan itu agak kasar.’’
Azman membuat kenyataan itu pada Ahad ketika berkempen. Polis telah merakam keterangannya.
Fahri berkata, kenyataan Azman adalah “kasar dan menyinggung perasaan” tetapi ia sebahagian “hak dia untuk bersuara”.
“Saya tidak rasa ada unsur jenayah dalam kenyataannya,” katanya.
“Kerajaan tidak boleh terlalu sensitif dengan kenyataan seperti itu. Ia tidak sepatutnya diberi perhatian.
“Tetapi saya bukan ahli politik.”
Albert mengakui kenyataan Azman mungkin tidak menyenangkan pihak tertentu tetapi kenyataan sedemikian sah selagi tidak mengancam keselamatan negara atau mencetuskan keganasan atau kebencian.
“Persoalannya sama ada saya menyinggung perasaan atau anda sensitif,” katanya.
“Walau apa pun, sebarang had ke atas ucapan atau ungkapan harus mengikut undang-undang dan bukannya perasaan anda atau saya.”
Pengundian di Padang Serai yang ditangguhkan sebelum ini dijadualkan pada Rabu. Azman berdepan saingan daripada Sofee Razak (Pakatan Harapan), C Sivaraj (Barisan Nasional), Hamzah Abdul Rahman (Pejuang), Bakri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (bebas).
Kenyataan Azman itu mendorong Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil menggesa polis membuka siasatan.
Dalam reaksinya, Timbalan Ketua Bersatu Shah Alam Afif Bahardin berkata gesaan Fahmi “bertentangan” dengan janji PH mempertahankan kebebasan bersuara.
Namun, Fahri mengingatkan kebebasan bersuara, yang dijamin Perkara 10 Perlembagaan, tidak memberikan kebebasan mutlak kepada mana-mana individu untuk berkata apa sahaja yang mereka suka tanpa akibat.
“Ia bergantung kepada sama ada kita bercakap benar, berasas apabila bercakap buruk tentang seseorang, dan tidak membahayakan orang lain,” katanya.
“Sebab itu kita boleh disaman jika memfitnah dan didakwa jika melakukan jenayah.” Sementara itu, bekas presiden Badan Peguam, Salim Bashir, berkata kenyataan Azman mesti dinilai dari segi konteks dan maksud jika ia hendak disiasat.
“Kita perlu nilai sama ada ungkapan itu telah melanggar batas-batas kenyataan politik yang ditetapkan undang-undang, sama ada ia dusta terhadap mana-mana individu dan kerajaan, atau menguja ketidakpuasan hati terhadap institusi diraja,” katanya.
Beliau juga berkata, kerajaan perlu berhati-hati apabila bertindak terhadap kritikan kerana ia boleh dilihat menindas kebebasan berkuasa.
Sumber: Free Malaysia Today
