Connect with us

Terkini

Basmi kemiskinan haid, KKM perlu fokus kawasan sekolah, PPR dan NGO terpilih

Pelaksanaan awal inisiatif membasmi kemiskinan haid oleh Kementerian Kesihatan (KKM) boleh difokuskan kepada golongan kurang berkemampuan di sekolah, masjid, kawasan perumahan, penduduk di Program Perumahan Rakyat (PPR) dan badan bukan kerajaan (NGO) terpilih. 

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Basmi kemiskinan haid, KKM perlu fokus kawasan sekolah, PPR dan NGO terpilih
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Ia boleh difokuskan kepada golongan kurang berkemampuan di sekolah, masjid, kawasan perumahan, penduduk di PPR dan NGO terpilih. 
  • Semua pihak perlu bantu kesan golongan sasar yang layak terima bantuan itu termasuk adakan kempen kesedaran di kawasan kejiranan masing-masing.
  • Hebahan awal seumpama itu bantu kenal pasti mereka yang perlukan bantuan, sekali gus mudahkan inisiatif ini dijalankan lebih lancar dan berterusan. – Presiden Persatuan Wanita Inspirasi Negara, Norhimah Aziz

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan awal inisiatif membasmi kemiskinan haid oleh Kementerian Kesihatan (KKM) boleh difokuskan kepada golongan kurang berkemampuan di sekolah, masjid, kawasan perumahan, penduduk di Program Perumahan Rakyat (PPR) dan badan bukan kerajaan (NGO) terpilih. 

Presiden Persatuan Wanita Inspirasi Negara, Norhimah Aziz, berkata semua pihak perlu membantu mengesan golongan sasar yang layak menerima bantuan berkenaan termasuk mengadakan kempen kesedaran di kawasan kejiranan masing-masing.

Beliau berkata, hebahan awal seumpama itu dapat membantu mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan, sekali gus memudahkan inisiatif ini dijalankan lebih lancar dan berterusan.

“Pada masa ini, masyarakat masih kurang peka dengan masalah kemiskinan haid terutama membabitkan golongan miskin bandar.

“Mereka juga masih ‘skeptikal’ apabila bercakap hal sedemikian, menyebabkan sumbangan tuala wanita kurang mendapat sambutan berbanding bantuan makanan atau wang ringgit. 

“Jadi, program ini perlu dilakukan dengan memberi kesedaran kepada golongan sasar dan fokus pelaksanaannya menjurus kepada penerima yang layak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Media semalam melaporkan, KKM bakal melaksanakan inisiatif tuala wanita percuma kepada wanita daripada golongan kurang berkemampuan dalam usaha memerangi kemiskinan haid.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata sebagai permulaan, inisiatif itu akan dilaksanakan di pejabatnya sendiri.

Beliau berkata, inisiatif yang juga mendapat sambutan pada peringkat global itu akan dikembangkan di seluruh kementeriannya.

Norhimah berkata, persatuannya juga ada menjayakan inisiatif basmi kemiskinan haid dikenali sebagai ‘Projek Merah’ namun kurang mendapat sambutan.

“Projek Merah dilancarkan pada September 2021 dan ia dimulakan dengan agihan di kawasan PPR dan pedalaman Sabah,” katanya. 

Sementara itu, Penolong Eksekutif di syarikat keselamatan, Norhafizah Mohd Noor Esa, 37, berkata pengenalan tuala wanita percuma ini satu inisiatif baharu untuk rakyat Malaysia.

“Bantuan ini dapat membantu wanita khasnya golongan B40 dan kita berharap inisiatif ini dinikmati golongan terbabit sepenuhnya.

“Jadi, golongan sasar perlu dikenal pasti bagi mengelak ada golongan tercicir,” katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *