Connect with us

Antarabangsa

Pemimpin gereja Katolik nafi 184 penganutnya kembali peluk Hindu di Madhya Pradesh

Pemimpin Gereja Katolik menolak dakwaan kumpulan nasionalis Hindu bahawa 184 penganut Kristian kembali memeluk agama Hindu di Madhya Pradesh, demikian lapor Hindutva Watch.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Pemimpin gereja Katolik nafi 184 penganutnya kembali peluk Hindu di Madhya Pradesh
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Seramai 184 penganut Kristian daripada 38 keluarga dari 24 Kalyanpura, daerah Jhabua kembali memeluk agama Hindu, demikian laporan Vishwa Hindu Parishad (VHP).
  • Laporan itu dinafikan pemimpin gereja Katolik di Madya Pradesh, India.
  • “Tuntutan VHP adalah palsu sama sekali. Penganut Kristian dari semua denominasi didokumentasikan dengan betul dan tiada siapa yang meninggalkan kepercayaan kami,” kata Father Rockey Shah.
  • Father Shah berkata upacara penukaran semula agama itu adalah sebahagian propaganda memfitnah orang Kristian. Dia turut mencabar penganjur mengeluarkan butiran untuk membuktikan dakwaan itu.

Pemimpin Gereja Katolik menolak dakwaan kumpulan nasionalis Hindu bahawa 184 penganut Kristian kembali memeluk agama Hindu di Madhya Pradesh, demikian lapor Hindutva Watch.

Menurut laporan Vishwa Hindu Parishad (VHP) atau Majlis Hindu Sedunia mengenai upacara penukaran agama semula di Kalyanpura, daerah Jhabua pada 7 November lalu, seramai 184 penganut Kristian daripada 38 keluarga dari 24 kampung kembali ke agama Hindu.

“Tuntutan VHP adalah palsu sama sekali. Penganut Kristian dari semua denominasi didokumentasikan dengan betul dan tiada siapa meninggalkan kepercayaan kami,” kata pegawai perhubungan awam keuskupan Jhabua, Father Rockey Shah.

Upacara penukaran semula agama itu adalah sebahagian propaganda memfitnah orang Kristian, katanya.

Dia turut mencabar penganjur upacara itu mengeluarkan butiran untuk membuktikan dakwaan itu.

Presiden kerja pusat VHP, Alok Kumar berkata usaha khas untuk menjadikan daerah Jhabua dan wilayah sekitarnya “bebas penukaran agama” dilancarkan pada 6 November lalu dan akan diteruskan sehingga 20 November depan.

Kumar juga meminta kerajaan negeri memberikan jumlah orang Hindu memeluk agama Kristian di bawah peruntukan Akta Kebebasan Beragama Madhya Pradesh 2020 dan menerima maklumbalas tiada orang Hindu yang berbuat demikian.

Pemimpin VHP berkata hal ini menimbulkan syak wasangka tentang aktiviti gereja di daerah itu. 

“Apabila tidak ada yang memeluk agama Kristian, kenapa begitu banyak gereja sedang dibina?” katanya.

Kumar mendakwa gereja-gereja terbabit dibina tanpa kebenaran sah kerajaan negeri, namun dinafikan Father Shah.

“Semua gereja kita mempunyai kebenaran yang sah dan kebanyakannya dibina sebelum pembentukan negeri. Ada yang sudah berusia 100 tahun malah lebih tua,” kata paderi Katolik itu.

Father Shah berkata golongan nasionalis Hindu mengelirukan orang ramai mengenai isu penukaran agama oleh mubaligh Kristian. 

“Kami tidak menukar agama sesiapa pun secara haram seperti yang digambarkan,” katanya.

Sumber: Hindutva Watch

Author