Antarabangsa
Bahrain mahu terus jalin hubungan dengan Israel
Bahrain mahu terus menjalinkan hubungan dengan negara haram Israel selepas bekas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan sekutu sayap kanannya menang dalam pilihan raya umum.
- Penasihat diplomatik kepada Raja Bahrain, Sheikh Khalid bin Ahmed Al Khalifa berkata negara berkenaan mahu terus menjalinkan hubungan dengan Israel selepas bekas PM, Benjamin Netanyahu dan sekutu sayap kanannya menang dalam pilihan raya umum.
- “Kami akan berpegang kepada perjanjian dengan Israel, bersama-sama menghadapi semua ancaman,” katanya.
- Israel dan Bahrain juga dalam rundingan perjanjian perdagangan bebas.
MANAMA – Bahrain mahu terus menjalinkan hubungan dengan negara haram Israel selepas bekas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan sekutu sayap kanannya menang dalam pilihan raya umum.
Israel, di bawah kerajaan Netanyahu pada 2020, menormalisasikan hubungan dengan Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain – di mana kebimbangan terhadap pengaruh serantau Iran mendominasi strategi keselamatan – di bawah pakatan normalisasi ditaja Amerika Syarikat (AS), digelar ‘Abraham Accords’.
Penasihat diplomatik kepada Raja Bahrain dipetik agensi berita Reuters sebagai berkata, kemenangan Netanyahu adalah “normal dan sentiasa dijangka”.
“Kami mempunyai perjanjian dengan Israel, sebahagian daripada Perjanjian Abraham, dan kami akan berpegang kepada perjanjian.
“Kami akan bersama-sama dalam menghadapi semua ancaman,” kata Sheikh Khalid bin Ahmed Al Khalifa ketika menjawab soalan mengenai pendekatan keselamatan serantau.
Negara-negara Teluk dan Israel berkongsi kebimbangan terhadap program nuklear dan peluru berpandu Iran serta rangkaian proksi serantau.
Negara-negara Teluk juga bergantung kepada Amerika Syarikat untuk keselamatan mereka tetapi mempersoalkan komitmen AS terhadap rantau itu.
Israel dan Bahrain juga dalam rundingan perjanjian perdagangan bebas.
Sumber: The Times Of Israel