Terkini
Kes culik lelaki warga Palestin, dua lagi individu didakwa
Dua lagi individu lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Palestin berhubung perisian untuk menggodam telefon bimbit bulan lalu.

- Dua lagi individu lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Palestin berkaitan perisian untuk menggodam telefon bimbit bulan lalu.
- Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
- Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Mayang pada pukul 10.40 malam, 28 September lalu.
- Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
KUALA LUMPUR – Dua lagi individu lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Palestin berhubung perisian untuk menggodam telefon bimbit bulan lalu.
Bagaimanapun, Mohd Zaidi Mohd Zain, 54, dan Tengku Hazarul Ismail T Hamid, 49, berdiam diri ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa telah menahan Omar ZM Albelbaisy Raeda, 31, dengan cara tidak berpatutan untuk mendapatkan ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Mayang di sini pada pukul 10.40 malam, 28 September lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatin Hanum Abdul Hadi dan Kamarul Aris Kamalludin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada 14 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan seramai 11 individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan sama.
Semua tertuduh itu ialah Dody Junaidi, 42, Mohamad Norakmal Hassan, 41, Edy Ko’im Said, 40, Faizull Hardey Mohd Isa, 40, Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 39, Mohamad Naziree Mustapha, 39. Selain itu ialah Raibafie Amdan, 39, Nidarahayu Zainal, 34, Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 25, Mohamad Sufian Saly, 23, dan Muhammad Al Hatim Mohd fauzi, 21.
Awal bulan ini, polis telah menahan 18 individu di sekitar Lembah Klang berhubung kes penculikan seorang lelaki Palestin di kawasan Jalan Yap Kwan Seng.
Sumber: Sinar Harian
