Terkini
Bakal pengantin perlu diutamakan ujian saringan HIV pra-perkahwinan – Dr. Rozaimi Ramle
Kenyataan Prof Dr Adeeba Kamarulzaman yang mendakwa ujian saringan HIV pra-perkahwinan satu pembaziran dana kesihatan awam, sebaliknya usaha hapuskan HIV perlu ditumpukan kepada golongan seperti pekerja seks, MSM dan PWID disifatkan berisiko kerana kemungkinan ada individu merahsiakan status dirinya.

- Golongan yang hendak berkahwin perlu diberi keutamaan dan dikehendaki buat ujian tersebut kerana kemungkinan ada individu merahsiakan status dirinya.
- Ia mengelakkan pasangan daripada dijangkiti perkara yang dapat memudaratkan.
- Terdapat ahli ilmu berpandangan isteri boleh meminta fasakh jika pasangan mempunyai penyakit HIV.
- Perbanyakkan kempen bahaya homoseksual di media sosial, filem, drama dan forum keagamaan untuk tangani masalah jangkitan HIV dalam golongan tersebut.
KUALA LUMPUR – Kenyataan Prof Dr Adeeba Kamarulzaman yang mendakwa ujian saringan HIV pra-perkahwinan satu pembaziran dana kesihatan awam, sebaliknya usaha hapuskan HIV perlu ditumpukan kepada golongan seperti pekerja seks, MSM dan PWID disifatkan berisiko kerana kemungkinan ada individu merahsiakan status dirinya.
Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Dr. Rozaimi Ramle berkata, ini berikutan statistik dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia tahun 2019 dianggarkan seramai 87,581 menghidap penyakit HIV.
Bahkan, berkemungkinan lebih 10,000 orang tidak tahu mereka menghidap penyakit ini menurut laporan. Justeru, beliau berpandangan golongan yang hendak berkahwin juga perlu diberi keutamaan dan dikehendaki membuat ujian tersebut.
“Saya bersetuju berkaitan ujian saringan HIV kepada bakal pengantin. Perkara ini penting agar dapat mengelakkan pasangan daripada dijangkiti perkara yang dapat memudaratkan.
Bahkan terdapat ahli ilmu yang berpandangan isteri boleh meminta fasakh jika pasangan mempunyai penyakit HIV,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas berkenaan antara usaha boleh dijalankan untuk menangani permasalahan jangkitan HIV dalam kalangan golongan yang mengamalkan hubungan songsang adalah memperbanyakkan kempen bahaya homoseksual di media sosial, filem, drama dan forum keagamaan.
Selain itu, filem yang mengandungi unsur homoseksual, pondan dan seumpamanya juga wajar dihentikan segera seiring dengan mengeluarkan filem pendek ataupun wawancara bekas pelaku homoseksual yang sudah insaf namun identitinya perlulah dilindungi.
Beliau berkata demikian susulan terdapat pihak yang mengatakan antara cara dapat mengurangkan peningkatan jangkitan HIV dalam kalangan homoseksual adalah mengajarkan cara seks selamat dengan berikan kondom contohnya.
Terdahulu, media melaporkan Pakar Perubatan Keluarga, Dr Sakinah Sulong bahawa pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini antara yang ramai dijangkiti HIV disebabkan amalan seks songsang atau gay adalah satu hakikat yang amat ‘menyeramkan’ dan perit untuk diterima.
Ia diperkukuhkan lagi dengan statistik Kementerian Kesihatan tahun lepas yang mendedahkan sebanyak 77 peratus golongan muda dijangkiti virus bahaya itu berusia 20 hingga 39 tahun.
Bahkan, terdapat 11 aplikasi yang boleh dimuat turun dalam talian, khusus untuk mencari pasangan seks dari golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). – The Merdeka Times

You must be logged in to post a comment Login