Terkini
Cadangan mansuh hukuman sebat, penjenayah hela nafas lega?
Kebelakangan ini semakin ramai berpendapat bahawa hukuman sebat tidak lagi relevan untuk dijadikan sebagai hukuman kesalahan jenayah kerana ia dianggap kejam dan tidak berperikemanusiaan.
KUALA LUMPUR – Kebelakangan ini semakin ramai berpendapat bahawa hukuman sebat tidak lagi relevan untuk dijadikan sebagai hukuman kesalahan jenayah kerana ia dianggap kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Bahkan ia dianggap sebagai ‘penyeksaan’ mengikut standard hak asasi manusia antarabangsa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kemungkinan hukuman sebatan akan dimansuhkan pada masa akan datang.
Berikutan itu, peguam Edwin Tomas turut berkata bahawa memberi kuasa budi bicara kepada hakim akan menjadi satu “langkah ke hadapan”, walaupun lebih baik untuk terus memansuhkan hukuman sebat sama sekali atas dasar konsistensi.
Tidak dapat dinafikan bahawa hakim perlu diberi budi bicara untuk menetapkan hukuman yang sesuai mengikut fakta dan keadaan kes tersebut.
Namun begitu, apabila setiap hakim menggunakan budi bicara dalam membentuk suatu keputusan atau penghakiman, maka tidak ada keseragaman dalam hukuman.
Ada hakim yang lembut hati dan ada juga hakim yang bertindak tegas. Oleh itu, menjalankan kuasa budi bicara tanpa panduan mungkin menimbul kesan yang tidak baik walaupun hakim berkuasa menggunakan kuasa budi bicara beliau.
Teori sistem keadilan jenayah moden
Menurut sistem keadilan jenayah moden, terdapat empat teori penghukuman yang biasanya digunakan hakim untuk menghukum pesalah jenayah sebagaimana yang diputuskan dalam kes Reg v Davis ([1978] 67 CrApp R 207: 210).
Teori penghukuman tersebut ialah pencegahan, pemulihan, penghilang keupayaan dan pembalasan. Setiap teori ini mempunyai falsafah dan matlamat tersendiri.
Teori pencegahan ini diperjuangkan oleh golongan utilitarian yang beranggapan bahawa kesan dan akibat selepas hukuman itu dijalankan adalah lebih penting berbanding kesakitan yang dialami pesalah tersebut.
Sesuatu hukuman mestilah adil serta mempunyai darjah kekerasan yang mencukupi untuk menakutkan orang lain agarnya dapat mencegah daripada berlaku jenayah serupa.
Pengalaman banduan dihukum sebat di penjara pernah disiarkan akhbar tempatan dan rata-rata mereka menggambarkan betapa sakitnya hukuman itu, sehingga punggung pun boleh ‘hancur’. Ngeri sekali gambaran kesakitan hukuman sebat di mahkamah sivil yang dikenakan terhadap pesalah jenayah, termasuk kesalahan merogol.
Namun, sejauh manakah keberkesanan hukuman yang diwarisi zaman penjajahan British ini berjaya mencegah jenayah serupa dari berlaku?
Hukuman sebat menginsafkan?
Dalam satu perkongsian pada 2018, penyanyi, Ameng Spring mendedahkan dia terpaksa menanggung kesakitan amat perit selama 40 hari dan terlantar tanpa sebarang ubat mahupun pengawasan doktor selepas menjalani sebatan sebanyak 10 kali ketika di penjara akibat penyalahgunaan dadah.
Menurut Ameng, memang ramai banduan tidak bersetuju dan berpendapat hukuman sebat keterlaluan serta kejam namun baginya hukuman tersebut boleh mengubah seseorang ke arah lebih baik.
Beliau berpendapat hukuman sebat perlu dikekalkan untuk memastikan penjenayah tidak mengulangi kesalahan mereka kerana baginya seseorang individu itu perlu berdepan hukuman berat untuk berubah.
“Saya dulu, kali pertama ‘kantoi’, saya tidak insaf, tetap buat jenayah. Tetapi, apabila kena sebat, baru insaf,” kata Ameng.
Menurut peguam, Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid, rata-rata pesalah yang dituduh di mahkamah lebih gerun terhadap hukuman sebatan dan kebanyakannya memilih dikenakan hukuman penjara lebih lama berbanding bilangan sebatan tinggi.
Peguam Fahri Azzat pula menyeru agar fokus ditumpukan pada “bentuk hukuman yang kreatif, bermakna dan berfaedah dari segi sosial”, seperti khidmat masyarakat dan menggunakan set kemahiran banduan untuk memberi manfaat kepada masyarakat.
Hukuman sebatan atau khidmat masyarakat?
Bagaimana pula jika kesalahan tersebut melibatkan jenayah rogol? Adakah hukuman berbentuk ‘khidmat masyarakat’ lebih bersifat pencegahan peningkatan jenayah rogol berbanding sebat yang disifatkan zalim?
Ada mangsa rogol yang berdepan trauma mental bahkan ada yang dibiarkan dengan pelbagai kecederaan fizikal, dijangkiti penyakit seksual dan kehamilan yang tidak diingini.
Hukuman bagi kesalahan rogol ini dinyatakan dalam seksyen 376 Kanun Keseksaan. Subseksyen (1) menetapkan jika disabitkan maka tertuduh boleh dijatuhkan hukuman penjara selama kurang daripada dua puluh tahun dan sebat.
Tinjauan The Merdeka Times (TMT) mendapati majoriti netizen masih mahukan hukuman sebatan diteruskan ke atas penjenayah rogol.
Bagaimana pula hukuman ke atas kesalahan ini yang dijalankan di kebanyakan negara lain?
Ketika ini, negara yang mengamalkan hukuman rotan atau sebatan atas kesalahan jenayah rogol adalah Malaysia, Singapura dan Brunei.
Di negeri Kaduna, Nigeria, mereka mempunyai undang-undang lebih tegas menangani kes rogol, termasuk memandulkan lelaki didapati bersalah dan hukuman mati sekiranya mangsa adalah kanak-kanak berusia bawah 14 tahun.
Bagi mana-mana pesalah wanita yang didapati bersalah merogol kanak-kanak bawah umur 14 tahun, rahim mereka akan dibuang.
Menurut data UNICEF, satu daripada empat gadis Nigeria diserang secara seksual sebelum umur 18 tahun.
Pada 2018, India menguatkuasakan hukuman mati bagi jenayah rogol kanak-kanak perempuan bawah umur 12 tahun. Walaupun terdapat undang-undang baharu yang diperketatkan, angka serangan terhadap golongan wanita kekal tinggi.
Menurut Biro Rekod Jenayah Kebangsaan(NCRB), jenayah seksual terhadap wanita di India telah meningkat sebanyak 7.5 peratus sejak 2010. Dilaporkan bahawa setiap 22 minit seorang wanita di India dirogol, pada tahun 2019.
Perlunya hukuman adil, setimpal dan menggerunkan pesalah
Merujuk kepada senario di India sendiri, sekalipun hukuman mati dikenakan ke atas pesalah ianya bukanlah satu jaminan bahawa akan berlaku pengurangan jenayah rogol namun tidak juga kita boleh menafikan bahawa hukuman yang ringan seperti hukuman khidmat masyarakat tidak mampu menjanjikan apa-apa bagi melibatkan jenayah berat seperti itu.
Justeru itu, hukuman yang bersifat adil, setimpal dan gerun diperlukan untuk menakutkan orang daripada melakukan jenayah, dan dengan itu, ia umumnya berkaitan dengan hukuman lebih berat.
Bakal penjenayah lebih cenderung untuk meninggalkan rancangan mereka jika mereka mendapati bahawa mereka berpotensi untuk mengalami hukuman seumpama pesalah yang telah dikenakan hukuman.
Menjatuhkan hukuman berat yang bertujuan membendung jenayah rogol perlu seiring dengan tujuan didikan dan difahami bahawa perlakuan mereka adalah salah supaya ketika mereka kembali kepada masyarakat, kelompok itu tidak akan mengulangi kesalahan sama.
Mungkin kaedah penggunaan hukuman sebat untuk pesalah sivil perlu dilihat semula supaya ia tidak terlalu menyiksa anggota badan. Keadilan bagi mangsa juga perlu setimpal agar ia dapat menghalang pihak mangsa dari melakukan pembalasan sendiri yang dapat mewujudkan jenayah lain. – The Merdeka Times