Terkini
Anak lahir di luar negara oleh wanita Malaysia: Keputusan belum muktamad
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyifatkan keputusan mahkamah bahawa kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh wanita tempatan yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia, belum muktamad.
- Keputusan mahkamah bahawa kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh wanita tempatan yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia, belum muktamad – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
- “Kes itu masih boleh dirayu di peringkat Mahkamah Persekutuan.” – Menteri.
- Advokasi untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung status warganegara anak yang dilahirkan wanita Malaysia yang berkahwin dengan bukan warganegara perlu dilaksanakan secara lebih agresif.
- “Malah, saya pernah mencadangkan supaya kerajaan menarik semula rayuan terhadap keputusan penghakiman oleh hakim Mahkamah Tinggi yang membenarkan kewarganegaraan diberi secara penguatkuasaan undang-undang,” katanya.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyifatkan keputusan mahkamah bahawa kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh wanita tempatan yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia, belum muktamad.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun, sebaliknya berkata kes itu masih boleh dirayu di peringkat Mahkamah Persekutuan.
“Walaupun keputusan baru-baru ini menghampakan, terutama bagi wanita warganegara yang berkahwin dengan lelaki bukan warganegara, kita perlu menjunjung prinsip Rukun Negara ketiga iaitu keluhuran Perlembagaan dan menghormati proses undang-undang.
“Namun keputusan itu belum muktamad. Ia masih boleh dirayu di peringkat Mahkamah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan mahkamah bahawa kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang.
Ia diputuskan Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1. Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Pada masa sama, Rina berkata, advokasi untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung status warganegara anak yang dilahirkan wanita Malaysia yang berkahwin dengan bukan warganegara perlu dilaksanakan secara lebih agresif.
Beliau berkata, ia perlu supaya golongan ibu mendapat hak setara dengan bapa membabitkan hal kewarganegaraan.
“Isu berhubung status warganegara anak yang dilahirkan wanita Malaysia yang berkahwin dengan bukan warganegara di luar negara adalah isu yang saya perjuangkan dan ikuti secara dekat,” katanya.
Rina berkata, status kewarganegaraan anak kepada wanita Malaysia yang berkahwin dengan suami bukan warganegara, selain isu melahirkan anak di luar negara sentiasa menjadi perhatian kementerian berkenaan.
Beliau berkata, ia adalah selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) dan Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW).
“Malah, saya pernah mencadangkan supaya kerajaan menarik semula rayuan terhadap keputusan penghakiman oleh hakim Mahkamah Tinggi yang membenarkan kewarganegaraan diberi secara penguatkuasaan undang-undang,” katanya.
Sumber : Berita Harian