Terkini
Larang istilah kuil haram: PM tidak perlu persetujuan kabinet – Timbalan Presiden MIC

- Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata kegagalan mesyuarat kabinet semalam untuk menyentuh isu itu bukan satu masalah besar, kerana beliau telah membawa perkara tersebut terus kepada perhatian perdana menteri.
- “Tak perlu bincang di peringkat kabinet, perdana menteri boleh buat keputusan, arahkan KSN (ketua setiausaha negara) maklum kepada agensi berkaitan dalam soal ini,” — Saravanan.
- Saravanan juga dipetik berkata permohonan kepada perdana menteri itu dibuat atas permintaan masyarakat India.
KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memerlukan persetujuan jemaah menteri untuk mengeluarkan arahan supaya agensi dan jabatan kerajaan tidak lagi mengguna istilah “kuil haram”, kata Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.
Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah berkata kegagalan mesyuarat kabinet semalam untuk menyentuh isu itu bukan satu masalah besar, kerana beliau telah membawa perkara tersebut terus kepada perhatian perdana menteri.
“Secara peribadi saya sudah sampaikan kepada perdana menteri termasuk hantar surat kepada perdana menteri.
“Tak perlu bincang di peringkat kabinet, perdana menteri boleh buat keputusan, arahkan KSN (ketua setiausaha negara) maklum kepada agensi berkaitan dalam soal ini,” katanya dipetik Malaysiakini hari ini ketika ditemui di sebuah program kempen BN untuk PRK Ayer Kuning.
Sementara itu, Saravanan dipetik Free Malaysia Today sebagai berkata permohonan kepada perdana menteri untuk mempertimbang larangan istilah ‘kuil haram’ diguna pakai kerajaan dibuat atas permintaan masyarakat India.
Beliau berpendirian tiada keperluan Kabinet membincangkan permohonan itu, sambil menyifatkan keputusan perdana menteri sudah memadai.
Semalam, Jurucakap Kerajaan yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan mesyuarat kabinet tidak membincang permohonan Saravanan kepada perdana menteri supaya semua agensi dan jabatan kerajaan menghentikan penggunaan istilah kuil haram.
Saravanan yang juga bekas menteri pada Isnin dilapor mengemukakan rayuan itu susulan pengurusan Hospital Taiping mengguna istilah tersebut dalam surat maklum balas berhubung satu aduan berkaitan kewujudan rumah ibadat tidak berdaftar di kawasan hospital berkenaan.
Beliau membantah keras penggunaan frasa itu dalam tajuk surat rasmi tersebut dan menegaskan banyak kuil berkenaan telah wujud selama beberapa dekad malah ada yang mendahului penggubalan Kanun Tanah Negara 1965.
Katanya, melabel rumah ibadat Hindu seperti itu sebagai “haram” amat menyinggung perasaan dan adalah tidak sensitif serta mengabaikan fakta sejarah dan budayanya. — The Merdeka Times
