- “Sesiapa yang gagal mempertahankan bendera negaranya, pastinya akan gagal mempertahankan identiti dan jati diri negaranya.”
- Demikian kata Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menerusi hantaran terbaru di Facebook beliau hari ini, tanpa menyatakan secara jelas kenyataan tersebut ditujukan kepada siapa dan berkenaan isu apa.
- Mohd Asri yang lebih dikenali sebagai Dr Maza juga mengingatkan bahawa sesiapa yang bertolak ansur dengan penghinaan ke atas bendera negaranya, pastinya individu terbabit turut akan bertolak ansur apabila teras negaranya dilanggar dan dirobek.
- Minggu lalu, terdapat tiga insiden berasingan berkaitan bendera negara Malaysia iaitu Jalur Gemilang dipaparkan secara tidak lengkap hingga mengundang kritikan masyarakat.
KUALA LUMPUR — “Sesiapa yang gagal mempertahankan bendera negaranya, pastinya akan gagal mempertahankan identiti dan jati diri negaranya.”
Demikian kata Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menerusi hantaran terbaru di Facebook beliau hari ini, tanpa menyatakan secara jelas kenyataan tersebut ditujukan kepada siapa dan berkenaan isu apa.
Mohd Asri yang lebih dikenali sebagai Dr Maza juga mengingatkan bahawa sesiapa yang bertolak ansur dengan penghinaan ke atas bendera negaranya, pastinya individu terbabit turut akan bertolak ansur apabila teras negaranya dilanggar dan dirobek.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Dr MAZA.
Minggu lalu, terdapat tiga insiden berasingan berkaitan bendera negara Malaysia iaitu Jalur Gemilang dipaparkan secara tidak lengkap hingga mengundang kritikan masyarakat.
Insiden pertama membabitkan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily yang dilapor memapar gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit (anak bulan) di muka hadapan akhbar tersebut sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia baru-baru ini.
Sekalipun Sin Chew tampil memohon maaf dan menyatakan perkara itu berlaku disebabkan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan, ia tetap dikritik keras oleh pelbagai pihak.
Ia termasuk Tokoh Wartawan Negara ke-9, Datuk A. Kadir Jasin yang menegaskan jika penerbitan muka hadapan akhbar berbahasa Cina itu yang memapar gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit dilakukan secara sengaja, maka beliau menganggap akhbar tersebut sebagai sama ada sangat bodoh, jahat atau sangat berani.
Jika sebaliknya pula, Kadir menganggap akhbar itu sama ada bodoh kerana tidak kenal bendera negara atau mereka buat kerja sambil lewa dan sistem penyuntingan serta kawalan dalaman mereka sangat lemah hingga menyebabkan kesilapan seperti itu berlaku.
Turut terpalit isu sama adalah akhbar harian berbahasa Cina, Kwong Wah Yit Poh yang dilapor memuat naik hantaran di Facebook memaparkan Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap.
Selain kedua-dua akhbar tersebut, sebuah syarikat makanan bayi dari Singapura yang turut serta dalam pameran produk bayi di Pusat Pameran Mid Valley di sini juga memohon maaf kerana memuat naik video memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit.
Menurut BERNAMA, Singapore Lactation Bakes (SLB) memaklumkan pihaknya mengakui betapa penting Jalur Gemilang sebagai lambang identiti, warisan dan perpaduan negara.
Terbaharu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilapor menjalankan siasatan berhubung satu video yang memaparkan Jalur Gemilang tidak lengkap pada sebuah ekspo bayi di ibu negara baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata aspek siasatan akan dilaksanakan sama seperti dibuat dalam siasatan isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap pada muka hadapan sebuah akhbar. — The Merdeka Times