Terkini
Lelaki ditahan di Bachok, aibkan PM Anwar di sosial media

- Seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan polis, selepas didapati memuat naik sebuah video mengaibkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di aplikasi TikTok, dengan niat membangkitkan ketegangan awam serta memboikot Majlis Sambutan Aidilfitri Madani yang telah berlangsung pada 12 April di Pantai Irama, Bachok.
- Ketua Polis Daerah Bachok, Supt Mohamad Ismail Jamaluddin berkata video itu bukan sahaja mengandungi kata-kata kesat dan jolokan tidak senonoh terhadap Perdana Menteri, malah turut menuduh Anwar akan menipu orang ramai semasa kehadirannya di majlis itu.
KOTA BHARU — Seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan polis, selepas didapati memuat naik sebuah video mengaibkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di aplikasi TikTok, dengan niat membangkitkan ketegangan awam serta memboikot Majlis Sambutan Aidilfitri Madani yang telah berlangsung pada 12 April di Pantai Irama, Bachok.
Ketua Polis Daerah Bachok, Supt Mohamad Ismail Jamaluddin berkata video itu bukan sahaja mengandungi kata-kata kesat dan jolokan tidak senonoh terhadap Perdana Menteri, malah turut menuduh Anwar akan menipu orang ramai semasa kehadirannya di majlis itu.
Berikutan itu, polis telah menerima laporan pada 11 April dan bertindak menahan suspek dan merampas telefon bimbitnya bagi tujuan siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas telefon bimbit suspek turut menemui kandungan video dan gambar lucah,” katanya dalam kenyataan semalam.
Walau bagaimanapun, siasatan bagi kesalahan lain masih diteruskan sementara menunggu laporan penuh daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Polis menasihatkan orang ramai khususnya pemilik akaun media sosial, agar tidak menyebarkan kandungan yang menyentuh isu 3R (Raja, Bangsa, Agama) yang boleh menggugat ketenteraman awam,” katanya. — BERNAMA
