Antarabangsa
Data sulit bocor: Meta sah padam hantaran pro-Palestin di FB, IG atas permintaan Israel

- Meta didapati memadam lebih 90,000 hantaran dalam purata masa hanya 30 saat dan kebanyakan permintaan disertakan dengan tuduhan samar seperti keganasan atau hasutan.
- Meta juga telah memperluaskan penyingkiran automatik secara ketara sejak 7 Oktober, yang mengakibatkan anggaran sebanyak 38.8 juta hantaran tambahan telah “diambil tindakan” di Facebook dan Instagram sejak akhir tahun 2023.
- Data dalaman Meta yang dibocorkan oleh pemberi maklumat menunjukkan bahawa sejak 7 Oktober 2023, Israel telah mengemukakan lebih banyak permintaan penyingkiran kandungan berbanding mana-mana negara lain—dan Meta telah memenuhi 94 peratus daripadanya.
- Bahagian dalaman Meta yang bertanggungjawab terhadap penguatkuasaan kandungan, yang dikenali sebagai Integrity Organization, diketuai oleh Guy Rosen, seorang bekas pegawai tentera Israel.
- Tokoh penting lain dalam Meta yang terlibat dalam penguatkuasaan termasuk Jordana Cutler, bekas penasihat kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
CALIFORNIA – Memang sah selama ini Meta secara aktif patuh melaksanakan permintaan secara langsung oleh negara haram Israel untuk memadam kandungan pro-Palestin di Instagram dan Facebook.
Meta yang memiliki dua platform media sosial itu didapati memadam lebih 90,000 hantaran dalam purata masa hanya 30 saat dan kebanyakan permintaan disertakan dengan tuduhan samar seperti keganasan atau hasutan.
Meta juga telah memperluaskan penyingkiran automatik secara ketara sejak 7 Oktober, yang mengakibatkan anggaran sebanyak 38.8 juta hantaran tambahan telah “diambil tindakan” di Facebook dan Instagram sejak akhir tahun 2023.
Dalam istilah Instagram dan Facebook, “diambil tindakan” bermaksud sesuatu hantaran itu telah dipadam, diharamkan, atau disekat daripada capaian.
Pendedahan terbaru berdasarkan data sulit dalaman Meta yang dibocorkan kepada Drop Site News mendapati kempen penapisan besar-besaran menyasarkan kandungan pro-Palestin di Instagram dan Facebook diatur secara langsung oleh kerajaan Israel.
Data berkenaan menunjukkan tahap pematuhan Meta yang sangat tinggi terhadap permintaan penyingkiran kandungan dari Israel, yang telah mengakibatkan apa yang digambarkan pakar sebagai operasi penapisan terbesar dalam sejarah moden.
Data itu juga menunjukkan bahawa sejak 7 Oktober 2023, Israel telah mengemukakan lebih banyak permintaan penyingkiran kandungan berbanding mana-mana negara lain—dan Meta telah memenuhi 94 peratus daripadanya.
Namun apa yang membezakan kempen Israel adalah jangkauan globalnya. Tidak seperti kebanyakan kerajaan lain yang memberi tumpuan kepada kandungan dari dalam negara mereka, Israel menyasarkan pengguna dari lebih 60 negara.
Kebanyakannya negara majoriti Arab dan Muslim.
Menurut laporan, hanya 1.3 peratus permintaan penyingkiran dari Israel menyasarkan pengguna dari negara itu sendiri.
Menurut sumber dalaman Meta, pemantauan AI Meta kini dilatih berdasarkan keputusan penyingkiran ini—sekali gus menjadikan sistem itu berat sebelah terhadap kandungan berkaitan Palestin.
Bahagian dalaman Meta yang bertanggungjawab terhadap penguatkuasaan kandungan, yang dikenali sebagai Integrity Organization, diketuai oleh Guy Rosen, seorang bekas pegawai tentera Israel.
Tokoh penting lain dalam Meta yang terlibat dalam penguatkuasaan termasuk Jordana Cutler, bekas penasihat kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Cutler, menurut sumber dalaman Meta, secara peribadi menandakan kandungan berkaitan penulis Palestin, Ghassan Kanafani untuk disemak dan dipadamkan.
Satu siasatan oleh Human Rights Watch turut mengesahkan penemuan ini, melaporkan bahawa daripada 1,050 hantaran yang ditindas atau dipadam sejak 7 Oktober, 1,049 daripadanya menyokong Palestin.
Sumber dalaman juga memberitahu, hantaran yang tidak melanggar polisi Instagram dan Facebook turut dihukum hanya kerana berkaitan Palestin.
Lebih buruk, akaun yang membuat hantaran sebegitu sering menerima “strike”, yang boleh membawa kepada penggantungan penuh akaun. – The Merdeka Times
