Terkini
Raja Perlis titah teks Perlembagaan Bahasa Melayu kekal berkuatkuasa

- Pada 16 Januari lalu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail bertitah kepada Peguam Negara menerusi sepucuk surat yang menuntut teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Melayu kekal berkuatkuasa.
- Menurut Pertubuhan Pemerkasaan Identiti Malaysia (IDENTITI) perkara ini penting untuk dihebahkan kerana DYMM Raja Perlis sebagai Yang DiPertuan Agong ke-12 telah memperkenan teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Melayu sejak 29 September 2003 lagi iaitu 22 tahun yang lepas.
- IDENTITI mempersoalkan sejauh mana bidang perundangan Malaysia menurut titah Raja-Raja Melayu dengan merujuk teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa kebangsaan negara ketika ini.
- “Seluhur mana badan kerajaan memperkasakan Perlembagaan Persekutuan dan menurut titah Raja-Raja Melayu?” – IDENTITI
KUALA LUMPUR –Pada 16 Januari lalu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail bertitah kepada Peguam Negara menerusi sepucuk surat yang menuntut teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Melayu kekal berkuatkuasa.
Salinan surat titah DYMM Raja Perlis ini dikongsi Pertubuhan Pemerkasaan Identiti Malaysia (IDENTITI) di laman Facebook-nya.
Menurut pertubuhan tersebut, perkara ini penting untuk dihebahkan kerana DYMM Raja Perlis sebagai Yang DiPertuan Agong ke-12 telah memperkenan teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Melayu sejak 29 September 2003 lagi iaitu 22 tahun yang lepas.
Maka IDENTITI mempersoalkan sejauh mana bidang perundangan Malaysia menurut titah Raja-Raja Melayu dengan merujuk teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa kebangsaan negara ketika ini.
“Seluhur mana badan kerajaan memperkasakan Perlembagaan Persekutuan dan menurut titah Raja-Raja Melayu?
“Sebagai contoh, pihak Pertubuhan IDENTITI menghadapi kesukaran untuk tuntut Bank Negara Malaysia tukar istilah bahasa kebangsaan yang salah pada semua mesin autoteler (ATM) di seluruh negara,” jelas kenyataan tersebut.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Identiti Malaysia.
Tambah pertubuhan itu lagi, menurut Perlembagaan Persekutuan pada perkara 152, samada dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris, nama bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu, bukannya bahasa Malaysia.
“Perkara yang jelas begini pun badan kerajaan boleh abaikan Perlembagaan Persekutuan, inikan pula kalau di bidang perundangan.
“Jadi saya ulang, seluhur mana badan kerajaan memperkasakan Perlembagan Persekutuan dan menurut titah Raja-Raja Melayu?,” soal pertubuhan tersebut.
Jelas Pertubuhan IDENTITI, perkara ini perlu diambil serius berikutan ia membabitkan Perlembagaan Persekutuan yang mengabsahkan kewujudan negara ini dan juga melibatkan imej Raja-Raja Melayu dalam memperkasakan bahasa Melayu.
“22 tahun itu tempoh yang lama.
“Perkara ini kalau tak ditangani dengan segera, boleh membarahkan lagi krisis identiti kebangsaan dalam kalangan rakyat dan seterusnya menyebabkan perpecahan,” tambah kenyataan tersebut.
Pertubuhan tersebut turut menggesa semua rakyat Malaysia menularkan titah DYMM Raja Perlis ini.

Foto: Petikan surat berkenaan yang dikongsikan Facebook Identiti Malaysia.
Turut disertakan dalam hantaran itu adalah dua petikan surat berkenaan, “Pengesahan Teks Sahih Perlembagaan Persekutuan dan Salinan Ucapan Yang Di-Pertuan Agong pada 29 September 2003”.
Merujuk kandungan surat itu yang mempunyai enam perkara, ia difahamkan diutus Raja Perlis kepada Peguam Negara Malaysia, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar bertarikh 16 Januari lalu.
Antara kandungan surat itu adalah Raja Perlis bertitah bahawa semasa baginda menghadiri Majlis Pelancaran Perlembagaan Persekutuan Teks Bahasa Kebangsaan pada tarikh 29 September 2003 di mana ketika itu baginda merupakan Yang Di-Pertuan Agong ke-12, baginda telah menetapkan Teks Sahih Perlembagaan Persekutuan hendaklah dalam Bahasa Melayu .
Ketetapan itu mencerminkan azam baginda untuk terus menjunjung tinggi martabat bahasa kebangsaan, sebagai nadi utama dalam sistem perundangan negara.
Raja Perlis juga menitahkan supaya Peguam Negara menyembah maklum kepada baginda bahawa Teks Sahih Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Melayu kekal berkuatkuasa sebagaimana diperkenankan, selain baginda berhasrat mendapatkan salinan teks titah ucapan penuh baginda semasa majlis tersebut.
Difahamkan, Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar baru-baru ini turut membangkitkan tentang Raja Perlis telah mengutus surat kepada Peguam Negara berhubung Teks Sahih Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Melayu ketika Simposium Memperkasa Bahasa Kebangsaan Dalam Bidang Undang-Undang di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka yang diadakan pada 27 Februari lalu. –The Merdeka Times
