Terkini
Doktor menang kes mahkamah, tidak gugat keberkesanan Vaksin Covid-19 – Doktor Pakar

- Keputusan mahkamah berpihak kepada dua orang doktor baru-baru ini tidak menggugat pendapat atau mengubah apa-apa pendirian berkenaan kedudukan Ivermectin dan keberkesanan serta keselamatan Vaksin Covid-19.
- Ini kerana menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Datuk Dr Mohd Rushdan Md Noor, keputusan mahkamah melibatkan dua orang doktor terbabit sebenarnya tidak menyentuh sebarang isu berkenaan keberkesanan dan keselamatan Vaksin Covid-19.
- Bagi kes pertama, ia adalah mengenai ubat Ivermectin di mana seorang doktor menggunakan ubat itu untuk mencegah dan merawat jangkitan Covid-19, sedangkan ubat tersebut tidak pernah diluluskan penggunaannya bagi Covid-19.
- Perbicaraan dilakukan untuk menentukan sama ada boleh atau tidak ubat berkenaan digunakan oleh doktor.
- Bagi kes kedua pula, adalah membabitkan perbicaraan ke atas seorang doktor yang membuat kenyataan tentang Vaksin Covid-19 yang dianggap jelik dan menyakitkan hati di mana beliau dituduh di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, iaitu tuduhan membuat komunikasi jelik dan menyakitkan hati.
KUALA LUMPUR — Keputusan mahkamah berpihak kepada dua orang doktor baru-baru ini tidak menggugat pendapat atau mengubah apa-apa pendirian berkenaan kedudukan Ivermectin dan keberkesanan serta keselamatan Vaksin Covid-19.
Ini kerana menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Datuk Dr Mohd Rushdan Md Noor, keputusan mahkamah melibatkan dua orang doktor terbabit sebenarnya tidak menyentuh sebarang isu berkenaan keberkesanan dan keselamatan Vaksin Covid-19.
Jelas beliau, bagi kes pertama, ia adalah mengenai ubat Ivermectin di mana seorang doktor menggunakan ubat itu untuk mencegah dan merawat jangkitan Covid-19, sedangkan ubat tersebut tidak pernah diluluskan penggunaannya bagi Covid-19.
Justeru, katanya perbicaraan dilakukan untuk menentukan sama ada boleh atau tidak ubat berkenaan digunakan oleh doktor.
Sementara bagi kes kedua pula, adalah membabitkan perbicaraan ke atas seorang doktor yang membuat kenyataan tentang Vaksin Covid-19 yang dianggap jelik dan menyakitkan hati di mana beliau dituduh di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, iaitu tuduhan membuat komunikasi jelik dan menyakitkan hati.
“Keputusan tidak bersalah bukan bermaksud apa yang mereka lakukan atau maklumat yang diberikan itu benar kerana itu bukan fokus perbicaraan.
“Malahan dalam penghujahan kes pertama, mahkamah jelas menyatakan bahawa isu dibicarakan bukan berkaitan samada Ivermectin itu berkesan ataupun tidak tetapi samada doktor itu bersalah atau tidak memberikan ubat tersebut kepada pesakit, ((7) “This case was not related to the efficacy of Ivermectin vis-a-vis COVID-19 but rather focused on the substantive right of the respondents and other registered medical practitioners to dispense the same to their patients solely for treatment purposes as per Act 366”).

Foto: Tangkap layar antara petikan hantaran Dr Rushdan di Facebook.
“Begitu juga kes kedua, perbicaraan bukan untuk menentukan kenyataannya tentang vaksin itu benar atau tidak, tetapi samada ianya sabit dengan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Keputusan tidak bersalah yang diputuskan adalah kerana tindakan mereka itu tidak memenuhi tafsiran di dalam akta digunakan dan untuk kes pertama, hakim juga menyatakan pihak yang merayu gagal menguatkuasakan mekanisma undang-undang lebih sesuai (“failure to enforce more suitable legal mechanism”).
“Keputusan mahkamah yang menyebelahi kedua-dua doktor tersebut tidak menyentuh isu keberkesanan dan keselamatan Ivermectin ataupun Vaksin Covid-19, justeru apa sahaja keputusan perbicaraan tersebut tidak menggugat pendapat berkenaan dengan kedudukan Ivermectin serta keberkesanan dan keselamatan Vaksin Covid-19,” kata Dr Rushdan menerusi hantaran di Facebook.
Difahamkan bagi kes pertama yang dimaksudkan beliau adalah berkaitan laporan berita pada 3 Mac lalu yang menyatakan Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan, mengesahkan bahawa doktor berhak di sisi undang-undang untuk memberikan Ivermectin kepada pesakit mereka.
Manakala, bagi kes kedua ia dilihat bersangkut dengan laporan berita semalam tentang Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan pengasas The KL Sky Clinic, Dr Roland Victor, daripada pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video jelik berhubung vaksin COVID-19. Hakim, Ahmad Fuad Othman, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes ‘melampaui keraguan munasabah’.
Sementara itu, Dr Mohd Rushdan turut berkongsi di ruangan komen media sosial beliau pautan ke hantaran Facebook Aidil Khalid yang juga seorang peguam yang mengulas berkenaan kes Dr Roland Victor semalam.
Melihat kelompok anti-vaksin kegirangan menyambut ‘kemenangan’ Dr Roland, Aidil menyifatkan mereka tidak begitu memahami apa yang mereka baca.
Beliau berkata jika kelompok itu membaca ‘headline’ berkemungkinan daripada 100 hanya 15 peratus sahaja mereka dapat memahami atau menangkap apa yang cuba disampaikan, selebihnya itu akan diisi dengan imaginasi dan bayangan mereka sendiri serta membuat kesimpulan tidak betul.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Aidil Khalid.
Katanya, ini bukan sahaja melibatkan pembacaan tentang perubatan tapi termasuk juga perundangan, sebagai contoh dalam kes Dr Roland tidak dinafikan beliau menang dalam kes mahkamah tersebut tapi kelompok antivaksin menganggap kemenangan itu sebagai bukti bahawa berlaku pembohongan terkait vaksin Covid-19 dan ia kononnya terbukti berbahaya.
“Walhal kes Dr Roland tu bukan pun berkenaan sama ada vaksin berkesan ataupun berbahaya. Mahkamah tak bicarakan pun hal itu… Kes Dr Roland tu, dia dituduh di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, iaitu tuduhan membuat komunikasi jelik dan menyakitkan hati.
“Dia menang dan dibebaskan oleh Mahkamah sebab Mahkamah berpendapat pendakwaan gagal buktikan apa yang dikongsi oleh Dr Roland itu adalah bersifat jelik. Itu sahaja.
“Walaupun video Dr Roland memang menyentuh aspek vaksin, tapi Mahkamah tak nilai pun sama ada vaksin berbahaya atau berkesan, sebab itu bukan isunya untuk dipertimbangkan oleh Mahkamah… Bila dilepaskan, bermaksud Mahkamah berpendapat apa yang dikongsikan oleh Dr Roland di dalam videonya itu adalah merupakan kebebasannya untuk berkongsi, sebab ia tidak bersifat jelik.
“Seorang doktor sememangnya sepatutnya diberi kebebasan untuk berkongsi maklumat saintifik, sama ada yang menyokong kebaikan vaksin mahupun yang menyenaraikan keburukan vaksin,” kata Aidil yang berkongsikan pautan artikel bertajuk, “Dr Roland Victor bebas tuduhan buat hantaran jelik vaksin COVID-19”. — The Merdeka Times
