Connect with us

Kolumnis

Bentuk generasi pemimpin dari usia muda 

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan

“Melentur buluh biarlah dari rebungnya”

Pepatah ini sentiasa mengingatkan bahawa jiwa anak-anak diibaratkan seperti rebung yang lentur, amat mudah dibentuk ketika kecil. 

Namun, sekiranya peluang mendidik ini diabaikan, mereka berpotensi menjadi seperti buluh yang keras dan makin sukar dilentur apabila sudah dewasa. 

Prinsip ini amat selari dengan tradisi Islam, di mana anak-anak secara fitrahnya lahir dalam keadaan suci bersih dan mudah dibentuk mengikut acuan persekitaran. 

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.(Sahih Bukhari, No. 1385) 

Keadaan fitrah ini adalah satu anugerah tetapi tanpa pendidikan yang baik, ia mudah terpesong. 

Suka ataupun tidak, pendidikan anak-anak adalah amanah kolektif yang melibatkan ibu bapa, guru dan masyarakat. 

Amat membimbangkan, jika generasi muda hari ini diabaikan tanpa nilai Islam, natijahnya adalah terlahirnya pemimpin masa depan yang rosak moral dan rapuh integriti. 

Kerana anak-anak adalah cerminan kepimpinan negara pada masa hadapan. 

Saidina Ali RA pernah berkata: “Jika kamu ingin melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.”

Rasulullah SAW: Contoh terbaik membentuk generasi pemimpin 

Kajian sains membuktikan bahawa anak muda memiliki keupayaan luar biasa untuk menyerap maklumat berbanding individu dewasa. 

Menurut pakar neurologi, otak mereka berada dalam fasa perkembangan pesat yang dikenali sebagai ‘neuroplasticity’ di mana otak berupaya membentuk dan mengukuhkan maklumat dengan lebih berkesan. 

Oleh itu, usia muda adalah tempoh terbaik untuk mempelajari bahasa dan kemahiran baru dengan lebih cepat dan berkesan. 

Menariknya, pendekatan ini amat selari dengan madrasah didikan Rasulullah SAW yang berjaya melahirkan generasi pemimpin hebat. 

Madrasah didikan Rasulullah SAW membuktikan bahawa generasi pemimpin yang hebat tidak lahir secara tiba-tiba tetapi mereka dibentuk, diasah dan diasuh sejak usia muda. 

Bagaimanakah caranya? 

Baginda mendidik mereka dengan memberi peluang untuk memikul tanggungjawab yang besar, meskipun ramai lagi sahabat senior dan jauh lebih berpengalaman. 

Baginda tidak sekali-kali meragui kebolehan para sahabatnya yang cilik ini, malah mencabar kemampuan diri mereka sehingga mereka menjadi yang terbaik.

Contohnya, Zaid bin Thabit, si cilik yang genius. Seawal usia 11 tahun, Rasulullah SAW telah mengenal pasti potensi besar Zaid. 

Zaid telah menghafal 17 surah dalam Al-Qur’an dengan sokongan ibunya. Beliau dibawa mengadap Rasulullah SAW untuk membaca hafalannya. 

Baginda amat kagum dengan kemahiran hafalan Zaid.  Lalu baginda memberikan tugasan lebih mencabar iaitu mempelajari bahasa Ibrani dalam masa yang singkat untuk menjadi jurubahasa Rasulullah SAW dengan kaum Yahudi. 

Zaid berjaya menyelesaikan tugasan itu dalam masa hanya 15 hari sahaja tanpa adanya teknologi aplikasi bahasa seperti yang ada sekarang. 

Tidak berhenti di situ, Rasulullah SAW juga meminta Zaid mempelajari bahasa Suryani. 

Sekali lagi, Zayd membuktikan kebolehannya dengan berjaya menguasai bahasa asing itu dalam masa 17 hari.

Bimbingan peribadi Rasulullah SAW inilah yang mempersiapkan Zaid sebagai salah seorang pemimpin intelektual dalam kalangan sahabat.

Yang akhirnya, potensinya dimanfaatkan yang menjadi aset besar kepada umat Islam sehingga ke hari ini, terutama sumbangannya dalam pengumpulan dan penulisan wahyu.

Sebagaimana kata Abu Bakar kepada Zaid: “Sesungguhnya engkau seorang pemuda yang cerdas dan kami tidak pernah mengesyakimu (melakukan pendustaan). Dan dahulu engkau menulis wahyu untuk Rasulullah SAW. Jejakilah al-Qur’an dan kumpulkanlah ia.”

Begitu juga dengan Saidatina Aisyah RA, adalah contoh tokoh ilmuwan wanita yang diasuh dalam madrasah Rasulullah SAW. 

Sejak usia muda lagi, Aisyah RA sentiasa menganalisis isu-isu agama dan sosial bersama Rasulullah SAW. 

Apabila beliau tidak memahami sesuatu isu, Aisyah RA tidak akan berhenti bertanya kepada Rasulullah SAW sehingga beliau benar-benar memahaminya. 

Budaya keilmuan Rasulullah SAW yang bersifat terbuka dengan isterinya itulah yang membentuk Aisyah RA sebagai tokoh ilmuwan yang unggul sehingga ke hari ini. 

Keilmuan Aisyah RA diiktiraf ramai ilmuwan, termasuk Imam Hakim yang mengatakan bahawa satu perempat daripada ilmu agama yang kita miliki datang melalui Aisyah RA. 

Imam Al-Zuhri juga berkata, “Seandainya ilmu yang dimiliki Aisyah dibandingkan dengan ilmu semua wanita di muka bumi, maka nescaya Aisyah lebih unggul keilmuannya.” 

Madrasah didikan baginda sentiasa mendorong para sahabat muda untuk tidak kekal dalam zon selesa sehingga mereka mampu menjangkau batas kemampuan diri. 

Dalam proses itu, tidak pernah baginda meremehkan kemampuan sahabat-sahabat muda ini, sebaliknya mempercayai bakat dan potensi mereka sepenuhnya. 

Kepercayaan ini memberi motivasi besar buat para sahabat untuk terus berkembang dan memberikan yang terbaik kepada Islam. 

Seterusnya, dapat melahirkan generasi pemimpin seterusnya yang mampu membawa perubahan besar. 

Seperti, Zaid bin Harithah, seorang anak muda yang diasuh di bawah jagaan Rasulullah SAW juga berjaya mendidik Usamah bin Zaid sehingga menjadi panglima perang termuda dalam sejarah Islam.   

Ketika berusia 18 tahun, Usamah memimpin pasukan besar yang terdiri daripada sahabat senior, membuktikan kepercayaan Rasulullah SAW terhadap bakat dan kemampuan generasi muda. 

Sebagaimana para sahabat dididik secara berterusan dalam madrasah Rasulullah SAW, maka ibu bapa, guru dan masyarakat juga perlu memainkan peranan yang serupa menggunakan cara didikan baginda. 

Apabila pendidikan anak-anak dapat difahami sebagai sebahagian daripada dakwah, manfaatnya jauh lebih besar dan berpanjangan. 

Jadikan setiap peluang mendidik anak-anak sebagai satu pelaburan jangka panjang, bukan sekadar lelah atau bebanan. 

Jangan biarkan rebung yang lembut itu berubah menjadi buluh yang keras. Bentuklah mereka sejak usia muda, kerana di tangan mereka terletak masa depan agama, bangsa dan negara. – The Merdeka Times

 

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *