Antarabangsa
Perang belum berakhir, Israel akan terus berada di Gaza – Netanyahu
Perang masih belum berakhir dan Israel akan terus berada di Gaza hingga tebusan dikembalikan, kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
- Perang masih belum berakhir dan Israel akan terus berada di Gaza hingga tebusan dikembalikan, kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
- Netanyahu berkata demikian dalam satu kenyataan video dirakamkan pada Khamis selepas tentera rejim Israel mendakwa anggotanya telah membunuh pemimpin Hamas, Yahya Sinwar di Rafah, Gaza, semalam.
- Tentera Israel giat mengedarkan visual yang didakwanya adalah jenazah Sinwar kepada media, memuat naik di media sosial, ketika Hamas belum mengesahkan perkara itu.
- Dengan skrip sama kononnya untuk “mempertahankan diri” dan membebaskan tawanannya, rejim zionis Israel telah melakukan pembunuhan beramai-ramai (genosid) di Gaza dengan lebih 42,000 rakyat Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak, terbunuh dan lebih 99,100 cedera sejak Oktober tahun lalu.
Perang masih belum berakhir dan Israel akan terus berada di Gaza hingga tebusan dikembalikan, kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Netanyahu berkata demikian dalam satu kenyataan video dirakamkan pada Khamis selepas tentera rejim Israel mendakwa anggotanya telah membunuh pemimpin Hamas, Yahya Sinwar di Rafah, Gaza, semalam.
Tentera Israel giat mengedarkan visual yang didakwanya adalah jenazah Sinwar kepada media, memuat naik di media sosial, ketika Hamas belum mengesahkan perkara itu.
“Kepada keluarga tebusan yang dikasihi, saya katakan: ini adalah detik penting dalam perang. Kami akan meneruskan kekuatan penuh sehingga semua orang yang anda sayangi, orang yang kami sayangi, pulang,” kata Netanyahu dalam kenyataan video itu dipetik agensi berita Reuters dan Al Arabiya English.
Ketua Tentera Israel, Leftenan Jeneral Herzi Halevi berikrar untuk terus menggempur Gaza sehingga tebusan Israel dibebaskan dan semua pejuang Palestin yang terlibat dalam serangan balas rentas sempadan pada 7 Oktober tahun lalu, ditangkap.
“Kami sedang menyelesaikan masalah dengan Sinwar, yang bertanggungjawab untuk hari yang sangat sukar itu setahun yang lalu,” kata Halevi dalam kenyataan selepas melawat tapak di Gaza di mana kononnya ketua Hamas telah dibunuh.
Yahya Sinwar dilantik sebagai ketua Hamas menggantikan Allahyarham Ismail Haniyeh yang dibunuh di Tehran, Iran, pada 31 Julai lalu, dipercayai didalangi Israel.
Dengan skrip sama kononnya untuk “mempertahankan diri” dan membebaskan tawanannya, rejim zionis Israel telah melakukan pembunuhan beramai-ramai (genosid) di Gaza dengan lebih 42,000 rakyat Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak, terbunuh dan lebih 99,100 cedera sejak Oktober tahun lalu. – The Merdeka Times