Antarabangsa
Turkiye desak PBB guna kekuatan senjata untuk ‘membela’ Gaza
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pada Isnin menggesa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) segera mencadangkan tindakan ketenteraan bagi Gaza, menyerupai langkah tahun 1950 yang dikenali sebagai resolusi Uniting for Peace (Bersatu untuk Keamanan).
- Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pada Isnin menggesa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) segera mencadangkan tindakan ketenteraan bagi Gaza, menyerupai langkah tahun 1950 yang dikenali sebagai resolusi Uniting for Peace (Bersatu untuk Keamanan).
- “Hari ini, mempertahankan Palestin dan Lubnan bermaksud mempertahankan kemanusiaan, keamanan dan budaya saling hidup bersama dengan kepercayaan berbeza,” kata Erdogan selepas mesyuarat Kabinet Turkiye di Ankara dipetik agensi berita Anadolu.
- “Kami tidak akan pernah bersetuju dengan kekejaman dan kebiadaban ini,” katanya merujuk kepada serangan berterusan Israel ke atas Gaza, Tebing Barat dan Lubnan.
- Resolusi Uniting for Peace yang diluluskan pada November 1950 menyatakan dalam kes-kes di mana Majlis Keselamatan PBB tidak dapat bertindak atas kekurangan persetujuan antara lima anggota tetapnya, Perhimpunan Agung boleh mengeluarkan cadangan sesuai kepada ahli-ahli PBB untuk mengambil tindakan kolektif, termasuk penggunaan kekuatan bersenjata bila perlu.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pada Isnin menggesa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) segera mencadangkan tindakan ketenteraan bagi Gaza, menyerupai langkah tahun 1950 yang dikenali sebagai resolusi Uniting for Peace (Bersatu untuk Keamanan).
“Hari ini, mempertahankan Palestin dan Lubnan bermaksud mempertahankan kemanusiaan, keamanan dan budaya saling hidup bersama dengan kepercayaan berbeza,” kata Erdogan selepas mesyuarat Kabinet Turkiye di Ankara dipetik agensi berita Anadolu.
“Segelintir Zionis radikal, dibutakan dengan darah dan kebencian, sedang membakar rantau ini dan seluruh dunia.
“Kami tidak akan pernah bersetuju dengan kekejaman dan kebiadaban ini,” katanya merujuk kepada serangan berterusan Israel ke atas Gaza, Tebing Barat dan Lubnan.
Resolusi Uniting for Peace yang diluluskan pada November 1950 menyatakan dalam kes-kes di mana Majlis Keselamatan PBB tidak dapat bertindak atas kekurangan persetujuan antara lima anggota tetapnya, Perhimpunan Agung boleh mengeluarkan cadangan sesuai kepada ahli-ahli PBB untuk mengambil tindakan kolektif, termasuk penggunaan kekuatan bersenjata bila perlu.
Erdogan sering mengkritik kegagalan Majlis Keselamatan PBB bertindak sepanjang tahun lalu ketika Israel membunuh puluhan ribu rakyat Palestin dan juga pelancaran serangan udara besar-besaran di Lubnan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Beliau mengulangi penegasannya bahawa keamanan dan keselamatan global tidak seharusnya dibiarkan kepada kehendak lima negara istimewa – lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB – sambil menggunakan slogannya: “Dunia lebih besar daripada lima”. — The Merdeka Times