Connect with us

Terkini

Kes Anwar saman Muhyiddin dibicara Ogos 2024

Mahkamah Tinggi akan mula mendengar perbicaraan kes saman fitnah dikemukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ogos tahun hadapan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Kes Anwar saman Muhyiddin dibicara Ogos 2024
Foto: Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri), Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan).
  • Mahkamah Tinggi akan mula mendengar perbicaraan kes saman fitnah dikemukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ogos tahun hadapan.
  • Tuntutan saman itu berhubung ucapan berbaur fitnah mengenai dakwaan Anwar menerima gaji sebanyak RM15 juta ketika berkhidmat sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.
  • Peguam, Datuk S N Nair yang mewakili perdana menteri itu memberitahu pemberita, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain, menetapkan 5, 6, 7, 12, 13, 14, 26, 27 dan 28 Ogos tahun hadapan sebagai tarikh perbicaraan.
  • Berdasarkan pernyataan tuntutan dalam saman difailkan pada 20 Disember tahun lalu, Anwar mendakwa pada 5 Disember tahun lalu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) membuat kenyataan itu dalam ucapan ketika ‘Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai’ di Taman Selasih, Kulim.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi akan mula mendengar perbicaraan kes saman fitnah dikemukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ogos tahun hadapan.

Tuntutan saman itu berhubung ucapan berbaur fitnah mengenai dakwaan Anwar menerima gaji sebanyak RM15 juta ketika berkhidmat sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

Peguam, Datuk S N Nair yang mewakili perdana menteri itu memberitahu pemberita, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain, menetapkan 5, 6, 7, 12, 13, 14, 26, 27 dan 28 Ogos tahun hadapan sebagai tarikh perbicaraan.

Beliau berkata, tarikh itu ditetapkan pada pengurusan kes semalam yang turut dihadiri peguam Muhyiddin, Chetan Jethwani dan Ivy Shu.

Nair berkata, mahkamah turut mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan permohonan interlokutori selewat-lewatnya 16 Jun ini jika ada dan menetapkan pengurusan kes lanjut pada 21 Jun ini.

Berdasarkan pernyataan tuntutan dalam saman difailkan pada 20 Disember tahun lalu, Anwar mendakwa pada 5 Disember tahun lalu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) membuat kenyataan itu dalam ucapan ketika ‘Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai’ di Taman Selasih, Kulim.

Ia sebagai menyokong calon PN, Datuk Azman Nasrudin, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dengan ratusan pengunjung menghadiri ceramah berkenaan.

Menurut Anwar, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau tidak boleh dipercayai dan tidak jujur mengenai penerimaan jutaan ringgit daripada Kerajaan Selangor sebagai Penasihat Ekonomi dan menipu orang ramai dengan menyatakan menerima gaji RM1.

Anwar mendakwa, kenyataan fitnah itu dirancang terlebih dahulu bertujuan untuk memperlekehkan, memfitnah reputasi serta perwatakannya secara serius selain memburukkan nama baik dan karakternya sebagai penyokong teguh kedaulatan undang-undang serta reformasi sosial.

Sementara itu, Muhyiddin dalam penyataan pembelaannya menyatakan, Anwar selaku ketua Kerajaan Perpaduan tidak sepatutnya tersinggung terhadap kritikan dan pertanyaan yang ditimbulkan sewaktu ceramah politik.

Muhyiddin sebaliknya menegaskan, sebagai pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri, Anwar seharusnya menjawab pertanyaan yang ditimbulkan secara terbuka dan sepenuh hati serta menafikan sebarang dakwaan yang dibangkitkan.

Sumber: Berita Harian

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *