Antarabangsa
Semua panel berpelitup muka, rangkaian berita Afghanistan bersiaran bincang isu wanita dalam Islam
Sebuah rangkaian berita Afghanistan bersiaran hampir 50 minit dengan semua panelnya adalah wanita pada Hari Wanita Antarabangsa.

- Sebuah syarikat penyiaran berita Afghanistan bersiaran hampir 50 minit dengan semua panelnya adalah wanita berpelitup muka pada Hari Wanita Antarabangsa.
- Ini adalah kali pertama perbincangan berita sebegitu berlaku di negara itu selepas Taliban mengambil alih tampuk pemerintahan Afghanistan.
- Siaran itu dikendalikan penyampai berita dari saluran rangkaian berita Tolo, Sonia Niazi, lapor media antarabangsa Independent.
- Pada Mei tahun lalu, Kementerian Pencegahan Maksiat dan Promosi Kebajikan Afghanistan mengarahkan semua wanita tampil dengan bertudung litup, termasuk menutup muka di khalayak ramai.
- Perintah yang meliputi penyampai televisyen itu pada mulanya dibantah kerana ia didakwa menyukarkan mereka untuk bercakap di hadapan kamera dengan wajah tertutup.
Sebuah rangkaian berita Afghanistan bersiaran hampir 50 minit dengan semua panelnya adalah wanita pada Hari Wanita Antarabangsa.
Siaran yang jarang berlaku di Afghanistan itu membabitkan panel wanita memakai pelitup muka membincangkan mengenai kedudukan wanita dalam Islam.
Memetik laporan Independent, ini adalah kali pertama perbincangan berita sebegitu berlaku di negara itu selepas Taliban mengambil alih tampuk pemerintahan Afghanistan.
Wanita telah dipaksa keluar daripada tenaga kerja Afghanistan pada tahun lalu dan dinafikan pendidikan selepas pemerintah Taliban mengingkari janji untuk mengenakan peraturan lebih sederhana berbanding pada pemerintahan sebelumnya.
Akibat larangan bekerja, ramai wartawan wanita berhenti kerja atau bekerja di belakang tabir, manakala pelajar wanita pula dinafikan pendidikan.
Wartawan Asma Khogyani yang hadir sebagai panel berkata, “Seorang wanita mempunyai hak dari sudut pandangan Islam… ia adalah haknya untuk bekerja, untuk dididik”.
Seorang lagi panel, Zakira Nabil berkata wanita akan terus mencari cara untuk belajar dan bekerja.
“Mahu atau tidak, wanita wujud dalam masyarakat ini… jika mereka tidak gagal untuk mendapatkan pendidikan di sekolah, dia akan belajar ilmu di rumah,” katanya yang juga bekas profesor universiti.
Siaran itu dikendalikan penyampai berita dari saluran rangkaian berita Tolo, Sonia Niazi yang membincangkan masalah dan tuntutan wanita Afghanistan ketika ini.
Perbincangan berita itu diterima baik di media sosial dan ramai pihak memuji Tolo untuk siaran itu.
Pada Mei tahun lalu, Kementerian Pencegahan Maksiat dan Promosi Kebajikan Afghanistan mengarahkan semua wanita tampil dengan bertudung litup, termasuk menutup muka di khalayak ramai.
Perintah yang meliputi penyampai televisyen itu pada mulanya dibantah kerana ia didakwa menyukarkan mereka untuk bercakap di hadapan kamera dengan wajah tertutup.
Susulan itu, pemerintah Taliban mengancam untuk mengambil tindakan denda terhadap pengurus dan penjaga penyampai berita wanita.
Tinjauan Reporters Without Borders tahun lalu menunjukkan lebih 75 peratus wartawan wanita kehilangan pekerjaan selepas Taliban mengambil alih Afghanistan berikutan kejatuhan Kabul dan pertukaran kerajaan pada 2021.
Sumber: Independent
