Connect with us

Terkini

“Terlalu banyak unsur memperlecehkan agama Islam dan agama lain dalam filem ini.” – Mantan menteri agama

Mentega Terbang disifatkan sebagai karya menzahirkan kegagalan sistem rumahtangga Muslim yang baik dari sudut tarbiyyah anak, pengajaran tanpa ilmu yang lebih menonjolkan logik dan akal. 

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

“Terlalu banyak unsur memperlecehkan agama Islam dan agama lain dalam filem ini.” - Mantan menteri agama
Foto: Poster filem Mentega Terbang.
  • Mentega Terbang disifatkan karya menzahirkan kegagalan sistem rumahtangga Muslim yang baik dari sudut tarbiyyah anak, pengajaran tanpa ilmu yang lebih menonjolkan logik dan akal. 
  • Filem itu dilihat meletakkan beban kesalahan kepada watak Muslim berbanding agama-agama lain.
  • Filem itu turut menampilkan watak penganut Kristian yang kelihatan baik namun tidak menghormati ajaran Islam, begitu juga seorang Hindu yang terang-terang melanggar ajaran agamanya.
  • “Persoalan yang timbul adalah rujukan Aisyah dalam hal agama Islam adalah bapanya yang agak berbeza daripada peribadi Muslim yang lain (bertatu, berseluar pendek, dan terbuka untuk anaknya murtad),” – Mantan Menteri Agama, Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
  • Dr Zulkifli turut berkeinginan berjumpa pengarah, penerbit filem serta pelakon filem Mentega Terbang.

KUALA LUMPUR – Mentega Terbang disifatkan sebagai karya menzahirkan kegagalan sistem rumahtangga Muslim yang baik dari sudut tarbiyyah anak, pengajaran tanpa ilmu yang lebih menonjolkan logik dan akal. 

Mantan Menteri Agama, Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang mengulas filem kontroversi itu di blognya berkata, karya tersebut dilihat meletakkan beban kesalahan kepada watak Muslim berbanding agama-agama lain.

Katanya, filem itu turut menampilkan watak penganut Kristian yang kelihatan baik namun tidak menghormati ajaran Islam, begitu juga seorang Hindu yang terang-terang melanggar ajaran agamanya.

“Terlalu banyak unsur memperlecehkan agama Islam dan agama-agama lain yang saya temui dalam filem ini. 

“Saya yakin, tidak ada penganut Kristian yang baik dan cakna dengan sensitiviti, sanggup membawa masuk anjing ke dalam kawasan rumah seorang Muslim yang baik. Saya juga yakin, seorang Hindu yang baik juga tidak akan memakan daging lembu sebagaimana perlakuan Suresh. 

“Sebagaimana saya juga yakin, seorang Muslim yang baik dan menghormati mazhab setempat tidak akan menyentuh anjing tanpa sebab…seorang Muslim yang baik tidak akan sesekali mencuba mencabar syariat-Nya dengan makan pau berintikan daging babi sebagaimana perlakuan Aisyah(watak utama),” katanya dalam ulasan itu.

Dalam ulasan itu, beliau menghuraikan permasalahan melibatkan pluralisme agama, kebenaran mutlak, dan kelahiran semula yang menjadi tema utama filem terbabit dari sudut falsafah, mahupun agama. 

Tegasnya, sekadar berasaskan niat baik tidaklah mencukupi jika sesuatu filem menyimpang dari asas kebenaran terutamanya yang membabitkan akidah dan syariat.

Apa yang kita dapati dalam Mentega Terbang, konsep kebenaran mutlak ini dimomokkan seolah-olah hanya Islam yang berpandangan sedemikian, tidak Kristian, Hindu atau Buddha. 

“Melalui watak Uncle Kasim dan faham kebenaran mutlak yang dipegangnya berdasarkan dialog-dialog beliau, Islam digambarkan dengan sikap holier than thou, tidak seperti Auntie Esther (mewakili Kristian) yang lebih tenang, mesra dan sentiasa bersangka baik. Itu satu perbandingan yang berat sebelah,” katanya yang telah menonton filem terbabit Jumaat lalu bersama penyelidik di Maktabah Al-Bakri.

Beliau turut melihat filem itu seolah-olah ingin mengangkat kaedah keraguan (methodical doubt) atau Cartesian doubt yang diperkenalkan Bapa Falsafah Moden, Rene Descartes. 

Dr Zulkifli menjelaskan kaedah keraguan dibentangkan Imam al-Ghazali dalam al-Munqidh min al-Dalal mempunyai persamaan asas dengan apa diperkatakan Descartes di mana kedua-duanya bermula daripada keraguan dan melakukan kajian terhadap pancaindera dan akal sebelum mencapai kebenaran.

Katanya, persamaan itu kemudiannya dijadikan asas penilaian oleh sesetengah pihak bahawa “kebenaran boleh dicapai dengan keraguan.” 

“Di sinilah keraguan dan syak dalam kalangan segelintir umat Islam timbul yang akhirnya membawa kepada tema-tema dibangkitkan dalam Mentega Terbang. 

“Filem berkenaan menimbulkan pelbagai bentuk keraguan yang mungkin bertujuan untuk bersikap kritis terhadap agama dan membuka pilihan kepada penonton untuk memilih kebenaran yang mereka yakini dengan mengabaikan keterbatasan mereka dari sudut ilmu, pengalaman, dan pengaruh sekeliling,” katanya.

Beliau menjelaskan dalam Islam, peranan manusia dalam proses pemerolehan ilmu dan kebenaran, mesti selari dengan mengakui akan kewujudan dan peranan Allah SWT kerana Allah SWT adalah sumber ilmu dan kebenaran yang hakiki, sehingga tidak ada ilmu dan kebenaran yang dicapai manusia tanpa proses mengenali-NYA.

Mengulas berkenaan kelahiran semula yang diangkat sebagai salah satu tema filem itu, Dr Zulkifli berkata,  konsep perpindahan roh dari satu jasad ke satu jasad yang lain wujud dalam pelbagai agama-agama selain Islam. 

Katanya, konsep itu berasal daripada beberapa buah agama dan falsafah kerohanian seperti Hindu, Buddha, sebahagian ajaran Greek, ajaran Mesir Purba, dan sebahagian agama-agama di Afrika. (Al-Rashid, Hayfa’ Bint Nasr 2015, 239). 

“Saya beranggapan Aisyah masih kekal Muslim walaupun ayahnya terbuka untuk anak murtad. 

“Pun begitu, Aisyah seakan percaya kepada konsep kelahiran semula (di penghujung cerita) apabila melihat seekor kupu-kupu (butterfly) yang hinggap di batu nisan ibunya dan tersenyum puas,” katanya yang juga mengulas isu mengkaji agama-agama lain yang ada dalam filem terbabit.

Dr Zulkifli berkata, kajian perbandingan agama bukanlah sesuatu yang baharu dalam Islam malah Al-Qur’an menyebutkan tentang agama-agama lain seperti Yahudi, Kristian, Sabian, dan kepercayaan-kepercayaan seperti ateisme, animisme dan sebagainya.

Bahkan banyak rekod di dalam hadis menunjukkan interaksi Rasulullah SAW dengan penganut agama-agama lain dalam bentuk dialog perbandingan dan perdebatan, dakwah atau sekadar hubungan sosial yang bersifat toleransi. 

“Sejak daripada permulaan filem, kita ditunjukkan dengan minat Aisyah yang mendalam terhadap agama-agama lain di mana beliau membaca Bible malah berbincang dengan kedua ibu bapanya berkenaan Kristian di meja makan. 

“Beliau juga bertanyakan Suresh tentang Veda. Kesungguhan beliau itu secara asasnya tidak menjadi masalah kerana Islam mengiktiraf ilmu Perbandingan Agama.

“Persoalan yang timbul adalah rujukan Aisyah dalam hal agama Islam adalah bapanya yang agak berbeza daripada peribadi Muslim yang lain (bertatu, berseluar pendek, dan terbuka untuk anaknya murtad),” katanya pada Isnin.

Seiring itu, Dr Zulkifli menyarankan beberapa langkah yang dapat dilaksanakan oleh pihak berkenaan terkait isu ini iaitu antaranya;

  • Peranan FINAS dan JAKIM wajib diperkukuhkan dan usahasama perlu dilihat dari aspek yang lebih luas. Malah, tidak mustahil pra-syarat untuk mengambil kira pandangan JAKIM dalam penghasilan filem atau drama menjadi satu akta yang boleh diwujudkan di masa akan datang. Penerbitan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-bahan Penyiaran Berunsur Islam oleh JAKIM boleh diangkat sebagai rujukan yang mempunyai impak perundangan.
  • Peranan bahagian penapisan filem dan drama turut diperluaskan ke filem dan drama yang dimuatnaik ke penstriman video dalam talian.
  • Saya mempunyai harapan yang tinggi agar setiap kenyataan dikemukakan pihak JAKIM di masa hadapan, disertakan sandaran dan hujah yang kukuh. 
  • Saya ingin memuji usaha Tuan Haji Zabidi Mohamed selaku anak seni yang mula-mula mengangkat isu ini untuk perhatian umum, diikuti oleh Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) yang dipimpin saudara Rozaidi Abdul Jamil. Pada saya, seni yang bermaruah adalah seni yang memelihara tradisi, agama, budaya dan sensitiviti setempat. 
  • Dengan pengalaman dan jaringan luas dalam dan luar negara dalam bidang kefatwaan dan hukum-hakam agama, Maktabah Al-Bakri bersedia berperanan sebagai pakar runding dalam hal-hal berkaitan industri perfileman tanah air. Islam tidak pernah menghalang kreativiti tetapi “patuh syariah” sebenarnya membuka 1001 ruang alternatif lain untuk anak seni mengekspresikan karya mereka.
  • Mengkritik sesebuah filem bukanlah berdasarkan emosi tetapi perlu kepada ilmu dan kefahaman agar ia benar-benar menepati maksud al-tawasi bi al-haqqi (berpesan-pesan kepada kebenaran) dan al-tawasi bi al-sabr (berpesan-pesan kepada kesabaran).

Dalam pada itu, Dr Zulkifli turut menyuarakan keinginan untuk berjumpa dengan pengarah, penerbit filem serta pelakon filem Mentega Terbang.

Pertemuan itu untuk mereka bersama-sama mencari penyelesaian terbaik dalam kemelut berkenaan kerana beliau yakin dan percaya kemampuan mereka (kru produksi) dalam dunia perfileman dan drama mempunyai potensi yang amat baik apabila digilap dengan sebaik mungkin. – The Merdeka Times

Sumber : Blog Zulkifli Al-Bakri

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *