Connect with us

Terkini

Beban tugas guru sama sejak dulu, bezanya guru yang kurang cekap guna ICT – Bekas KP Pelajaran

Beban tugasan sebagai seorang guru bukan perkara baharu kerana sejak sekian lama, guru memegang pelbagai tanggungjawab pada masa sama.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Beban tugas guru sama sejak dulu, bezanya guru yang kurang cekap guna ICT - Bekas KP Pelajaran
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Tugas seorang guru bukan sekadar sampaikan ilmu dalam kelas dan sediakan bahan mengajar semata-mata, malah seorang guru juga perlu melakukan pelbagai tugas di luar bilik darjah. – Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom
  • Sejak sekian lama juga, setiap guru turut diberi tugasan mengendalikan sukan, olahraga, kelab serta badan beruniform.”
  • “Semua tugasan yang dikendalikan oleh guru pula perlu direkod bagi melihat tahap penguasaan murid.”
  • Kekurangan yang ada sekarang adalah ada guru yang kurang cekap gunakan teknologi maklumat (ICT) dan bagi yang cekap pula, buatkan mereka lebih pantas bekerja.

KUALA LUMPUR: Beban tugasan sebagai seorang guru bukan perkara baharu kerana sejak sekian lama, guru memegang pelbagai tanggungjawab pada masa sama.

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata tugas seorang guru bukan sekadar menyampaikan ilmu di dalam kelas dan menyediakan bahan mengajar semata-mata, malah seorang guru juga perlu melakukan pelbagai tugas di luar bilik darjah.

Beliau berkata, sejak sekian lama juga, setiap guru turut diberikan tugasan mengendalikan sukan, olahraga, kelab serta badan beruniform.

“Semua tugasan yang dikendalikan oleh guru pula perlu direkod bagi melihat tahap penguasaan seseorang murid itu.

“Namun, yang membezakan tugasan guru dahulu dan sekarang adalah kemajuan teknologi apabila semuanya kini direkodkan dalam sistem berbanding manual sebelum ini.

“Jadi, tugasan guru sejak dahulu dan sekarang, sama,” katanya kepada BH.

Bagaimanapun, beliau berkata, kekurangan yang ada sekarang adalah ada guru yang kurang cekap menggunakan teknologi maklumat (ICT) dan bagi yang cekap pula, membuatkan mereka lebih pantas bekerja.

Selain itu, katanya, masalah capaian sistem menyukarkan guru melaksanakan tugasan.

“Namun, pada pandangan saya, guru perlu banyak bersabar dengan kekurangan yang ada dan anggap ini tugas sebagai guru sama seperti guru dulu,” katanya.

Beliau juga yakin, di sebalik keluhan ramai guru terbeban kebelakangan ini, masih ramai guru yang berdedikasi dalam melaksanakan tugas masing-masing.

Malah, katanya, ramai guru yang sanggup mengeluarkan wang poket sendiri untuk membantu anak murid yang dalam kesusahan dan memerlukan bantuan.

“Saya tahu ramai guru banyak membantu setakat mana yang mereka mampu, terutama di kawasan luar bandar yang mempunyai ramai murid kurang berkemampuan dan ini amat membanggakan profesion perguruan,” katanya.

Justeru, beliau menasihati setiap guru di negara ini, supaya terus menjadi guru yang cemerlang dan kreatif dalam mendidik anak murid mereka.

Katanya, dalam dunia yang semakin mencabar akibat ledakan ICT ketika ini, maklumat lebih mudah diperoleh iaitu di hujung jari sahaja.

“Saya cadangkan guru perlu selangkah ke hadapan daripada murid dan kuasai apa yang mahu diajar supaya murid merasakan kehadiran guru sangat penting kepada mereka.

“Jika tidak nanti murid akan berasakan guru tidak lagi penting kerana maklumat sudah semakin mudah diperoleh.

“Malah, dengan adanya kelainan, akan memudahkan dan memberi tarikan kepada murid untuk memahami apa yang diajar, sekali gus menjadikan guru sumber ilmu yang utama di sekolah,” katanya.

Sumber: Berita Harian

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *