Agama
Tunai haji secara haram langgar konsep istito’ah (kemampuan tunai haji) – Pakar agama

- Umat Islam diingatkan supaya tidak bersikap pentingkan diri dengan melaksanakan haji secara haram tanpa visa dan permit haji atau secara DIY (do it yourself) yang jelas melanggar perundangan dan membelakangkan aspek keselamatan ditetapkan pemerintah.
- Pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Mohd Anuar berkata walaupun dari segi hukum fiqah, terdapat ulama menyatakan ibadah haji secara haram tersebut adalah sah tetapi dalam masa sama ia turut berdosa jika dilakukan.
- Isu sebegini timbul susulan ada segelintir pihak yang sukar dimengertikan tentang konsep kemampuan (istito’ah) kerana keinginan mendalam untuk memenuhi tuntutan agama hingga sanggup membelakangkan arahan pemerintah setempat dan perundangan Arab Saudi dengan mengerjakan haji tanpa visa yang sah dan tiada permit haji.
KUALA LUMPUR — Umat Islam diingatkan supaya tidak bersikap pentingkan diri dengan melaksanakan haji secara haram tanpa visa dan permit haji atau secara DIY (do it yourself) yang jelas melanggar perundangan dan membelakangkan aspek keselamatan ditetapkan pemerintah.
Pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Mohd Anuar berkata walaupun dari segi hukum fiqah, terdapat ulama menyatakan ibadah haji secara haram tersebut adalah sah tetapi dalam masa sama ia turut berdosa jika dilakukan.
Jelasnya, isu sebegini timbul susulan ada segelintir pihak yang sukar dimengertikan tentang konsep kemampuan tunai haji (istito’ah) kerana keinginan mendalam untuk memenuhi tuntutan agama hingga sanggup membelakangkan arahan pemerintah setempat dan perundangan Arab Saudi dengan mengerjakan haji tanpa visa yang sah dan tiada permit haji.
“Tuntutan ibadat ini mempunyai hubungan yang rapat dengan syarat kemampuan yang dirakamkan dengan jelas dalam firman Allah SWT, surah Ali Imran ayat 97, maknanya: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.
“Berdasarkan ayat tersebut, kemampuan (istito’ah) menjadi persyaratan dalam mengerjakan ibadah haji dan ia merangkumi kemampuan kehartaan atau kewangan, kemampuan fizikal atau kesihatan dan kemampuan keamanan.
“Dalam konteks ini, kemampuan juga melibatkan giliran ditetapkan Tabung Haji. Sistem kuota dan penggiliran mengerjakan haji bukan bertujuan menghalang umat Islam menyempurnakan kewajipan agama tetapi ia bagi memastikan perjalanan haji lebih teratur, terkawal, selesa dan paling penting adalah keselamatan nyawa para jemaah.
“Dengan kata lain, ia termasuk dalam asas keamanan dalam mengerjakan ibadat haji… Jika ditelusuri dalam sejarah ibadah haji, terdapat beberapa siri tragedi yang mengorbankan nyawa jemaah kerana jumlah mereka terlalu ramai di mana kebanyakannya akibat kepadatan, rempuhan dan kepanikan,” katanya dalam kenyataan kepada The Merdeka Times.
Mengulas lanjut, Mohd Anuar berkata implikasi besar tindakan jemaah haji haram itu dapat disaksikan apabila 14 negara telah digantung sementara keistimewaan menggunakan visa pelancong bagi mengerjakan ibadah umrah oleh kerajaan Arab Saudi.
Ia termasuk negara jiran kita iaitu Indonesia selain India, Bangladesh, Mesir, Iraq, Nigeria, Jordan, Algeria, Sudan, Ethiopia, Tunisia dan Yaman yang diibaratkan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Justeru, katanya kepercayaan diberikan kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia adalah sangat bernilai kerana manfaatnya boleh dinikmati ramai pihak.
“Beribadahlah dengan sempurna dan patuhilah arahan kerajaan Malaysia dan perundangan Arab Saudi bagi memastikan ibadah dilakukan diterima kerana kemuncak didambakan para jemaah haji adalah mencapai haji mabrur.
“Jangan biarkan haji sekadar sah tetapi berdosa, sebaliknya kejarlah haji yang sah dan berpahala.
“Tindakan jemaah membelakangkan konsep istito’ah adalah tidak tepat kerana ia boleh mendatangkan risiko besar di kemudian hari sama ada kepada individu terlibat atau mampu memburukkan citra pengurusan haji dan umrah negara,” kata Mohd Anuar.
Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi sebelum ini mengumumkan denda sehingga SR100,000 akan dikenakan ke atas mana-mana individu yang menempatkan atau melindungi pemegang visa ziarah di mana-mana jenis kediaman, termasuk hotel, pangsapuri, rumah persendirian, pusat penginapan atau penempatan haji di Makkah dan kawasan suci.
Menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA), larangan itu berkuat kuasa dari 1 Zulkaedah hingga 14 Zulhijah dan turut melibatkan sesiapa yang membantu pemegang visa ziarah tinggal secara tidak sah. — The Merdeka Times
