Antarabangsa
“Penduduk Palestin di Gaza akan dipindahkan, demi keselamatan mereka sendiri” – Netanyahu

- Netanyahu dilihat tidak sabar melaksanakan keputusan Kabinet Israel dengan mengumumkan satu operasi ketenteraan baru besar-besaran yang akan dilancarkan dengan alasan untuk menewaskan Hamas dan membawa pulang beberapa puluh tebusan yang ditahan di Gaza.
- Bagaimanapun, matlamat sebenar Netanyahu diragui. Netanyahu berkata askar Israel tidak akan memasuki Gaza, melancarkan serangan, dan kemudian berundur. “Matlamat kami adalah sebaliknya,” katanya yang mahu tentera Zionis terus menduduki Gaza dan menjayakan pelan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk pemindahan rakyat Palestin dari Gaza.
- Kumpulan Kempen Keluarga Tebusan dan Orang Hilang Israel berkata dalam satu kenyataan pada hari Isnin bahawa pelan itu “mengorbankan” mereka yang masih ditahan di Gaza.
BAITULMAQDIS – Sebaik sahaja Kabinet negara haram Israel meluluskan pelan menakluki Gaza, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, terus membuat pengumuman untuk memindahkan segera penduduk Palestin di Gaza dalam operasi intensif terbaru mereka.
Ia menjadi sebahagian pelan penjajahan Israel untuk menakluki seluruh Gaza dan kemungkinan pengusiran rakyat Palestin dari wilayah berkenaan, lapor Aljazeera.
Dalam satu mesej video berbahasa Ibrani di X, merujuk kepada pelan yang telah diluluskan oleh Kabinet Keselamatan untuk memperluas serangan di Gaza, Netanyahu berkata penduduk Palestin di Gaza “akan dipindahkan, demi keselamatan mereka sendiri.”
Netanyahu dilihat tidak sabar melaksanakan keputusan Kabinet Israel dengan mengumumkan satu operasi ketenteraan baru besar-besaran yang akan dilancarkan dengan alasan untuk menewaskan Hamas dan membawa pulang beberapa puluh tebusan yang ditahan di Gaza.
Bagaimanapun, matlamat sebenar Netanyahu diragui.
Netanyahu berkata askar Israel tidak akan memasuki Gaza, melancarkan serangan, dan kemudian berundur. “Matlamat kami adalah sebaliknya,” katanya yang mahu tentera Zionis terus menduduki Gaza dan menjayakan pelan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk pemindahan rakyat Palestin dari Gaza.
Kumpulan Kempen Keluarga Tebusan dan Orang Hilang Israel berkata dalam satu kenyataan pada hari Isnin bahawa pelan itu “mengorbankan” mereka yang masih ditahan di Gaza.
Pegawai kanan Hamas, Mahmoud Mardawi, pula memberitahu Al Jazeera bahawa mereka hanya akan menerima perjanjian dengan Israel yang merangkumi gencatan senjata menyeluruh dan pengunduran sepenuhnya dari Gaza.
“Rakyat kami tiada pilihan melainkan mencapai perjanjian menyeluruh yang menjamin keselamatan dan perlindungan mereka,” katanya, sambil menambah bahawa sebarang usaha Israel untuk mencapai keputusan melalui ancaman atau pembunuhan besar-besaran akan gagal.
Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Farhan Haq pula memberitahu bahawa Setiausaha Agung Antonio Guterres terkejut dengan pelan Israel yang pasti akan menyebabkan lebih ramai orang awam terbunuh dan kemusnahan lebih teruk di Gaza.
“Gaza adalah, dan mesti kekal, sebagai sebahagian daripada negara Palestin masa hadapan,” katanya. – The Merdeka Times
