Connect with us

Terkini

Pasaran ketum beralih ke Lembah Klang, Tingkatkan risiko penularan ketagihan

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim
  • Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata walaupun sebelum ini penyalahgunaan ketum tertumpu di negeri-negeri utara, peralihan pasaran ke Lembah Klang dan kawasan selatan kini meningkatkan risiko ketagihan merebak ke kawasan tersebut.
  • “Daun ketum dilaporkan dijual pada harga RM30 hingga RM40 sekilogram di kawasan tersebut,” katanya.
  • Tambah Muhammad, walaupun ketum tempatan masih mendapat permintaan di Thailand, kawalan sempadan yang ketat dilaksanakan pihak berkuasa dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara telah menjadikan aktiviti penyeludupan ketum ke negara jiran semakin berisiko tinggi

KUALA LUMPUR — Penurunan mendadak harga ketum di negara jiran Thailand daripada RM100 kepada serendah RM3 sekilogram telah menyebabkan peralihan pasaran ketum dari negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia ke selatan negara dan Lembah Klang.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata walaupun sebelum ini penyalahgunaan ketum tertumpu di negeri-negeri utara, peralihan pasaran ke Lembah Klang dan kawasan selatan kini meningkatkan risiko ketagihan merebak ke kawasan tersebut.

“Daun ketum dilaporkan dijual pada harga RM30 hingga RM40 sekilogram di kawasan tersebut,” katanya dilapor NST hari ini.

Tambah Muhammad, walaupun ketum tempatan masih mendapat permintaan di Thailand, kawalan sempadan yang ketat dilaksanakan pihak berkuasa dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara telah menjadikan aktiviti penyeludupan ketum ke negara jiran semakin berisiko tinggi.

“Akibatnya, kes penyeludupan ketum dan tangkapan di sepanjang sempadan Perlis–Thailand telah menurun sehingga 60 peratus, dengan purata hanya satu hingga tiga kes direkodkan setiap bulan,” katanya.

Menurut laman web Majlis Keselamatan Negara, di Malaysia walaupun ketum telah diharamkan, minuman dibuat daripadanya tetap popular dalam kalangan sesetengah pihak dengan ada yang mendakwa pada dos rendah, ketum boleh bertindak sebagai stimulan atau sedatif, memberikan perasaan lebih bertenaga dan kuat, bahkan dikatakan mampu memperbaiki keadaan fizikal dan mental seseorang.

Namun, pelbagai kajian terkini menunjukkan ketum sebenarnya membawa lebih banyak mudarat daripada manfaat.

Antara kesan sampingan paling biasa termasuk penurunan berat badan yang mendadak, hilang selera makan, badan menggigil, berpeluh berlebihan, mulut kering, mual, muntah, sembelit, sakit-sakit tubuh badan, dan kerosakan organ hati.

Dari segi mental pula, pengambilan ketum boleh menyebabkan mabuk, khayal, perubahan mood yang ketara, halusinasi, delusi, tekanan perasaan, dan depresi.

Keadaan menjadi lebih serius apabila pengambilan ketum berlebihan boleh membawa kepada sawan, koma, dan paling menakutkan, kematian. — The Merdeka Times

Author