Connect with us

Antarabangsa

Pakistan serang balas India, tembak jatuh pesawat perang

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan
  • Pakistan menyatakan mereka telah bertindak balas dengan menyerang sasaran tentera India, termasuk menembak jatuh beberapa pesawat perang.
  • Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan lebih 35 cedera dalam serangan India. Peluru berpandu menyerang lokasi di Kashmir yang ditadbir Pakistan dan wilayah timur Punjab negara itu.
  • Di Punjab, peluru berpandu telah mengenai sebuah masjid di bandar Bahawalpur, mengorbankan seorang kanak-kanak dan mencederakan dua orang awam.

ISLAMABAD – Susulan serangan tentera India ke atas sembilan lokasi di Pakistan dan Kashmir yang ditadbir Pakistan dalam “Operasi Sindoor”, Pakistan hari ini melancarkan serangan balas terhadap negara itu.

Islamabad menyatakan bahawa mereka telah bertindak balas dengan menyerang sasaran tentera India, termasuk menembak jatuh beberapa pesawat perang.

Serangan India dan tindak balas oleh Pakistan berlaku di tengah ketegangan yang memuncak antara dua negara bersenjata nuklear itu selepas satu serangan maut bulan lalu terhadap pelancong di Kashmir yang ditadbir India, yang mana New Delhi menuduh Islamabad bertanggungjawab, namun Pakistan menafikan sebarang penglibatan.

Pegawai Pakistan berkata sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan lebih 35 cedera dalam serangan India. Peluru berpandu menyerang lokasi di Kashmir yang ditadbir Pakistan dan wilayah timur Punjab negara itu.

Al Jazeera, melaporkan bandar Muzaffarabad dan Kotli, kedua-duanya di Kashmir yang ditadbir Pakistan, termasuk dalam senarai sasaran serangan India.

Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Asif, dalam temu bual dengan sebuah rangkaian TV asing, mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya lima pesawat India telah ditembak jatuh dan beberapa tentera India telah ditawan.

“Serangan kini diteruskan di Garisan Kawalan (LoC) yang memisahkan Kashmir yang ditadbir Pakistan dengan Kashmir yang ditadbir India.

Di Punjab, peluru berpandu telah mengenai sebuah masjid di bandar Bahawalpur, mengorbankan seorang kanak-kanak dan mencederakan dua orang awam, menurut kenyataan tentera.

Tentera kedua-dua pihak saling melepaskan tembakan meriam dan senjata api berat di sepanjang sempadan mereka di kawasan sengketa Kashmir sekurang-kurangnya di tiga lokasi.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menyeru kedua-dua pihak agar menunjukkan tahap kawalan maksimum.

“Setiausaha agung amat bimbang dengan operasi ketenteraan India merentasi Garisan Kawalan dan sempadan antarabangsa. Beliau menyeru agar kedua-dua negara mengamalkan kawalan ketenteraan yang maksimum,” katanya.

India menyalahkan Pakistan atas insiden keganasan yang menyebabkan 26 lelaki terbunuh, dan berjanji untuk bertindak balas. Pakistan menafikan penglibatannya dalam pembunuhan itu.

Nitasha Kaul, pengarah Pusat Kajian Demokrasi, berkata serangan-serangan itu adalah “amat membimbangkan”.

“Seperti biasa, yang paling terkesan adalah rakyat di rantau itu, iaitu penduduk Kashmir, yang tersepit antara sikap bersaing, pemilikan dan permusuhan antara India dan Pakistan,” jelasnya. – The Merdeka Times

Author