Terkini
Lagi kes kesilapan Jalur Gemilang: “Perlu tindakan tegas, maaf sahaja tidak cukup”

- Lagi insiden melibatkan kesilapan berkaitan Jalur Gemilang, yang mana PAS Terengganu semalam dilapor telah tampil memohon maaf secara terbuka kerana memaparkan bintang Jalur Gemilang dengan bilangan bucu dan jalur merah putih tidak lengkap pada logo Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) 2025.
- Bagaimanapun, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyifatkan permohonan maaf itu tidak mencukupi dan menegaskan dalam kes sebegini, penyelesaian dengan hanya memohon maaf tidak patut dinormalisasi.
- “Jika kita minta tindakan tegas diberikan kepada akhbar, tindakan tegas dikenakan kepada pegawai KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia), sama juga tindakan yang tegas perlu diberikan kepada mereka yang terlibat ini supaya menjadi satu pengajaran. Bukan hanya minta maaf dan selesai begitu sahaja.” – Akmal Saleh
KUALA LUMPUR — Lagi insiden melibatkan kesilapan berkaitan Jalur Gemilang, yang mana PAS Terengganu semalam dilapor telah tampil memohon maaf secara terbuka kerana memaparkan bintang Jalur Gemilang dengan bilangan bucu dan jalur merah putih tidak lengkap pada logo Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) 2025.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyifatkan permohonan maaf itu tidak mencukupi dan menegaskan dalam kes sebegini, penyelesaian dengan hanya memohon maaf tidak patut dinormalisasi.
“Jika kita minta tindakan tegas diberikan kepada akhbar, tindakan tegas dikenakan kepada pegawai KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia), sama juga tindakan yang tegas perlu diberikan kepada mereka yang terlibat ini supaya menjadi satu pengajaran. Bukan hanya minta maaf dan selesai begitu sahaja.
“Sebab itu kita minta Ahli Parlimen kita gubal satu undang-undang mengenai perkara ini agar ada satu tindakan undang-undang yang lebih keras boleh digunakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini yang turut menyertakan tangkap layar artikel bertajuk, “Kesilapan Jalur Gemilang berulang: PAS T’ganu mohon maaf”.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Akmal Saleh.
Pada minggu lalu, PAS dilapor mula mengedarkan poster promosi bagi himpunan TMT yang dijadual berlangsung di Kemaman pada 29 hingga 31 Mei ini.
Logo di poster berkenaan memaparkan Jalur Gemilang di sebelah kiri, logo PAS di tengah dan bendera Terengganu di sebelah kanan.
Bagaimanapun, logo itu dikritik kerana didakwa hanya memaparkan bintang kuning dengan 11 bucu serta 12 jalur merah dan putih berselang-seli.
Jalur Gemilang sepatutnya mempunyai bintang 14 penjuru dan 14 jalur merah putih, yang mewakili 13 negeri dalam Persekutuan Malaysia dan Wilayah Persekutuan.
Isu permintaan maaf dalam insiden sebegini turut pernah dibangkitkan Pemuda PAS pada April lalu yang dilapor mengatakan permohonan maaf akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily atas kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit bukan tiket terlepas hukuman.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata tindakan tegas perlu diambil kerana mendakwa kesalahan itu cubaan halus untuk menghapuskan identiti kebangsaan dan mengguris maruah negara.— The Merdeka Times
