Connect with us

Antarabangsa

Ketegangan India-Pakistan bakal jejaskan bekalan beras negara- Menteri

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu
  • India membekalkan beras putih, manakala beras basmati diimport dari Pakistan, kedua-duanya merupakan makanan ruji bagi majoriti daripada 34 juta penduduk Malaysia.
  • “Sekiranya ketegangan di rantau itu terus memuncak, ia pasti memberi kesan langsung kepada kita, terutamanya dari segi harga dan kesinambungan bekalan,” – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Malaysia mungkin terpaksa mencari sumber bekalan beras dari negara lain berikutan ketegangan antara India dan Pakistan yang berpotensi mengganggu import beras, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Ketegangan antara kedua-dua negara berjiran yang memiliki senjata nuklear itu semakin memuncak selepas India melancarkan serangan ke atas Pakistan berikutan insiden serangan maut ke atas pelancong di wilayah Kashmir yang ditadbir India bulan lalu.

Datuk Seri Mohamad Sabu berkata hampir 40 peratus daripada beras import Malaysia datang dari India dan Pakistan.

“Kestabilan politik dan ekonomi kedua-dua negara ini amat penting bagi keterjaminan makanan negara.

“Jika berlaku peperangan atau ketegangan yang menjejaskan operasi pelabuhan atau infrastruktur penghantaran, ia boleh mengganggu bekalan beras ke negara kita,” katanya dalam satu temu bual bersama akhbar tempatan.

India membekalkan beras putih, manakala beras basmati diimport dari Pakistan — kedua-duanya merupakan makanan ruji bagi majoriti daripada 34 juta penduduk Malaysia.

“Sekiranya ketegangan di rantau itu terus memuncak, ia pasti memberi kesan langsung kepada kita, terutamanya dari segi harga dan kesinambungan bekalan,” ujar beliau.

Ketika ini, bekalan beras di Malaysia masih berada dalam keadaan stabil, namun kerajaan sedang mengukuhkan hubungan dengan negara pembekal beras lain di rantau ini termasuk Vietnam, Thailand dan Kemboja.

Pada 7 Mei lalu, India dan Pakistan saling berbalas tembakan artileri berat di sempadan yang dipertikaikan di Kashmir selepas New Delhi melancarkan serangan peluru berpandu ke atas musuh tradisinya itu, yang mengakibatkan korban jiwa di kedua-dua pihak.–The Merdeka Times

Author