Terkini
Hampir 30 peratus doktor di Malaysia dalam kategori B40 – MMA

- Bakal Presiden MMA, Dr Thirunavukarasu Rajoo berkata walaupun masyarakat melihat pengamal perubatan sebagai kaya, hakikatnya sebilangan besar daripada mereka merupakan kelompok berpendapatan rendah.’
- Dapatan itu berdasarkan kajian dijalankan pada 2018 melibatkan 1,800 orang doktor.
- “Kita dapati hanya 10 peratus yang benar-benar berjaya dari segi ekonomi. Manakala doktor dalam kategori B40 pula hampir 30 peratus. Lagi 30 peratus hanya cukup makan… Kita ada data ini.”
KUALA LUMPUR — Kira-kira 30 peratus doktor dalam negara ini tergolong sebagai kategori B40, bercanggah dengan tanggapan umum bahawa profesion itu adalah kelompok kaya, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
Bakal Presiden MMA, Dr Thirunavukarasu Rajoo berkata walaupun masyarakat melihat pengamal perubatan sebagai kaya, hakikatnya sebilangan besar daripada mereka merupakan kelompok berpendapatan rendah.
Katanya, dapatan itu berdasarkan kajian dijalankan pada 2018 melibatkan 1,800 orang doktor.
“Kita dapati hanya 10 peratus yang benar-benar berjaya dari segi ekonomi. Manakala doktor dalam kategori B40 pula hampir 30 peratus. Lagi 30 peratus hanya cukup makan… Kita ada data ini,” kata Thirunavukarasu dipetik Malaysiakini hari ini.
Tambah beliau, baki 30 peratus doktor yang lain, mereka berada dalam keadaan tersepit dari segi kewangan.
Thirunavukarasu dilapor berkata demikian ketika mengetuai protes menentang pelaksanaan Perintah Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan (Penandaan Harga bagi Ubat) 2025 oleh kerajaan yang berkuat kuasa 1 Mei lalu.
Selepas bercakap kepada media, beliau bersama beberapa wakil persatuan perubatan lain masuk ke Pejabat Perdana Menteri untuk menyerahkan memorandum yang mengandungi keluhan mereka.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilapor memberi jaminan akan meneliti setiap tuntutan dalam memorandum dikemukakan oleh mereka yang menyertai himpunan membantah peraturan mewajibkan mempamer harga ubat hari ini.
Dzulkefly berkata beliau maklum mengenai himpunan itu yang berlangsung hari ini di Putrajaya itu dan adalah mustahak baginya untuk memberi pertimbangan sewajarnya setelah meneliti memorandum berkenaan. — The Merdeka Times
